Sejak kebelakangan ini, saya sering terbaca di media-media sosial, tak kiralah LinkedIn, X, Threads, memang riuh-rendah.
Seorang influencer teknologi berkata:”Pengaturcaraan dah mati, sekarang zaman prompt engineering dan AI agents“.
Seorang lagi kata:”Siapa tak belajar AI sekarang, setahun lagi hilang kerja.“
Ada pula yang jenis sinis terus: “Tutup laptop, balik kampung, tanam jagung.“
Bagi saya, dan juga pengaturcara yang sudah berbelas tahun menghadap terminal dan teks editor – atau pun yang baru nak bertatih faham konsep loops dan classes – situasi sekarang memang mengundang rasa resah yang bukan sedikit. Kita berada, sekali lagi, di satu fasa peralihan. Sebelumnya, kami mengalami fasa peralihan dari merujuk buku-buku, kepada Internet untuk aturcara, kepada di mana seseorang boleh buat aplikasi penuh hanya berbekalkan idea dan beberapa baris arahan kepada model bahasa besar (Large Language Model – LLM).
Istilah popularnya hari ini: vibe coding. Taip apa yang kita nak buat, biar AI tuliskan kod di belakang tabir. Bila dah siap kita tinggal tekan run dan tengok hasilnya keluar. Pantas? Ya, sangat pantas. Menjimatkan masa? sudah tentu.
Namun, bila sisa-sisa keterujaaan itu reda, satu soalan paling asas timbul: Apa yang tinggal untuk seorang pengaturcara?
Bahaya Memilih Hasil (Outcome) berbanding kemahiran (Craft)
Dalam satu video perkongsian daripada JetBrains Academy baru-baru ini, ada satu perkara yang disebut sangat menyentuh hati saya;
"Kita kini boleh membina sistem tanpa perlu faham bagaimana sistem itu berfungsi sebenarnya"
Sekali imbas, nampak seperti satu revolusi produktiviti yang hebat. Tapi dari sudut seni kemahiran perisian (the craft of software engineering) ini adalah satu perangkap yang sangat halus.
Bila kita terlalu mengejar hasil (outcome) dan membuang proses untuk mengkaji dan memahami sesuatu masalagh, kita hilang kepuasan intelek. Rasa seronok menyelesaikan pepijat (bug) yang rumit selepas berjam-jam menyelam dalam call stack, nikmat menyusun seni bina pangkalan data yang bersih dan melalui fasa-fasa normalization, serta keyakinan kendiri apabila faham setiap baris kod yang berada dalam produksi – semua ini membentuk jiwa seorang jurutera perisian.
AI boleh bantu kita menjana skrip dalam masa lima saat. Tetapi apabila sistem itu roboh di peringkat concurrency, berdepan isu kebocoran memori (memory leak), atau tersekat pada kekangan rangkaian peringkat rendah, AI tidak boleh menanggung akauntabiliti tersebut. Yang perlu menyelesaikan krisi di tengah malam tetap manusia yang faham asas di aras paling bawah.
Kerangka Kerja akan mati, Fundamental tetap kekal
Saban kali pembangun muda bertanya kepada saya: “Bahasa apa yang patut saya belajar supaya tak lapuk dalam lima tahun akan datang?“
Jawapan jujur? Tiada siapa yang tahu.
Teknologi datang dan pergi. Pustaka (libraries) yang dianggap standard industri lima tahun lepas, mungkin hari ini sudah obsolete dan dianggap legacy. Saya masih ingat lagi menggunakan library Java Applet untuk laman web dan juga Java Swing graphics untuk menbina aplikasi desktop menggunakan Java. Namun sekarang ianya sudah obsolete.
Semua itu tidak terbanding dengan cara berfikir komputasi (computational thinking), pemahaman struktur data, asas algoritma, protokol rangkaian, dan cara sistem berinteraksi antara satu sama lain, ini semua adalah asas yang tidak pernah lapuk.
Bagi mengemudi fasa transisi ini, ada dua jurang utama yang perlu kita seimbangkan:
1. Pakar yang terlalu khusus (The Hyper-Specialist):
Jika selama ini kita hanya selesa menulis satu lapisan sahaja – contohya hanya tahu CSS dan komponen UI di hadapan – sudah tiba masanya untuk melangkah keluar dari kotak. Buka terminal, fahami bagaiman kontena Docker di atur, lihat bagaimana API berhubung dengan pangkalan data, dan fahami bagaimana sistem operasi menguruskan sumber. Automasi paling cepat menelan tugas yang skopnya sempit dan berulang. Semakin luas gambaran sistem dalam kepala kita, semakin sukar peranan kita akan digantikan.
2. Serba tahu yang menerawang (The Wandering Generalist):
Bagi yang suka mencuba pelbagai teknologi tetapi kerap melompat sebelum sempat membina apa-apa yang kukuh, pilih satu domain, kemudian berikan komitmen dan gali sehingga ke akarnya. Belajar membina sesuatu sehingga tamat (end-to-end). Kedalaman teknikal (technical depth) membina disiplin yang membezakan seorang pembina sistem sebenar daripada sekadar pengumpul tutorial.
Menaik Taraf Bahagian ‘Manusia’
Jika tugas menulis sintaks dan penjanaan kod semakin diambil alih oleh mesin, di mana medan sebenar seorang jurutera perisian di masa hadapan?
Jawapannya ada pada aspek kemanusian (the human element).
Kemahiran menulis kod sintaksis kini menjadi komoditi. Tetapi keupayaan untuk:
- Mendengar masalah bisnes yang kabur dan berupaya untuk menyusun semula dan menterjemahkannya kepada keperluan teknikal yan tepat;
- Berkomunikasi secara empati dengan pihak berkepentingan (stakeholders) yang bukan dari bidang teknikal;
- Membuat pertimbangan dari segi etika, keselamatan data, dan privasi;
- Serta memimpin pasukan untuk bekerjasama secara Agile dalam persekitaran yang tidak menentu;
adalah perkara yang dimana model kecerdasa buatan tidak mampu untuk melakukanya secara organik. Menjadi seorang jurutera perisian yang hebat pada era ini bukan lagi tentang kepantasan menaip dan menghasilkan kod, tetapi tentang ketajaman pemikiran kritis, reka bentuk sistem, dan keupayaan menyelesaikan masalah dunia sebenar bersama manusia lain.
Terus membina, Jangan hilang rasa ingin tahu
Jangan buang komputer riba ke dalam semak, dan jangan pula tenggelam dalam kepanikan kitaran berita AI setiap minggu.
Gunakan alat-alat moden ini sebagai pembantu (copilot), bukan sebagai pengganti otak. Biarkan AI membantu menaip kod asas, tetapi pastikan kita sentiasa menyemak setiap kod yang dijana; Mengapa fungsi ini ditulis sebegini? Apa kelemahan pendekatan ini? Adakah seni bina sistem ini dapat dibesarkan secara berkala?
Masa depan pengaturcaraan bukan milik mereka yang menolak AI secara membuta tuli, dan bukan juga milik mereka yang bergantung sepenuhnya kepada AI tanpa apa-apa kefahaman apa yang dihasilkan oleh AI.
Masa depan adalah milik mereka yang menghargai asas kemahiran, tidak takut meneroka domain baru, dan sentiasa mengekalkan rasa ingin tahu untuk terus belajar.
khaliqehsan.com
Selamat mengaturcara, dan teruskan membina.

Be First to Comment