Saya rasa setelah 10 tahun menggalas tugas sebagai Scrum Master, saya dapat melihat corak yang akan berulang: beberapa Sprint mengharungi fasa yang sukar, pihak atasan mula berasa risau dengan tarikh akhir penghantaran dan secara tiba-tiba, kumpulan kerja mula berpatah balik kepada zon selesa yang mereka sudah biasa, keperluan sistem perlu disiapkan dahulu, gantt chart dan pembahagaian tugas secara berasingan dalam diam.
Apabila kumpulan kerja ini berpatah balik kepada kaedah Waterfall, sangatlah jarang ianya berlaku hanya kerana mereka gagal untuk menulis 40 halaman untuk dokumen keperluan sistem. Tetapi, ianya lebih kepada reaksi emosi kepada kebimbangan dan juga kesamaran. Di dalam buku “The Psychology of Agile Work“, karya Dr. Stefanie Puckett, beliau ada menulis dan menerangkan apabila ketidaktentuan meningkat tanpa wujudnya keselamatan dari segi psikologi, manusia secara lahiriahnya akan mula mahukan kawalan dan juga kebolehramalan tersebut – walaupun ianya hanyalah ilusi semata-mata.
Jika kumpulan kerja anda mula berpatah balik kepada tabiat Waterfall lama, ini adalah cara bagaimana untuk kita mengalihkan fokus dari mekanisma yang tegar dan kembali kepada teras psikologi utama Agile.
1. Jangan sekadar cerna kegagalan proses, cari dan cernakan juga akar ketidaktentuan
Waterfall dalam hemat mereka yang menggunakannya bertahun lamanya, nampak lebih selesa kerana kaedah ini menghasilkan urutan dokumen yang boleh dijejak, dan kesalahan boleh di letak kan ke atas kegagalan fasa dan bukannya mereka yang melaksanakan kerja tersebut. Apabila kumpulan kerja mula bertanyakan tentang skop yang kekal dan juga kawalan kepada skop yang ketat, tanyakan kepada mereka:
- Apakah risiko yang kita sedang cuba lindungi?
- Jika pengeluaran berulang tidak mengenai sasaran, adakah kita risau akan dipersalahkan disebabkan jangkaan yang tidak dijelaskan?
- Adakah ahli kumpulan berasa keberatan apabila skop berubah ditengah-tengah Sprint?
Sebelum kita memperkenalkan semula ritual Agile, kita perlu menyelesaikan ketakutan ini. Jelaskan bahawa pembelajaran melalui kitaran maklum balas pendek membawa risiko kerjaya dan penyampaian yang lebih rendah, berbanding dengan mempelajari bahawa ianya salah hanya selepas 6 bulan kemudian.
2. Memulihkan keselamatan psikologi mengenai Saiz dan Penghantaran
Kumpulan kerja akan kembali kepada pelan yang tegar apabila merasakan anggaran mereka dijadikan sebagai komitmen yang mengikat mereka dengan pihak pengurusan.
- Beralih daripada tarikh akhir kepada penyelesaian masalah: Tetapkan semula matlamat Sprint berdasarkan nilai kerja dan juga peningkatan kepada kerja berbanding dengan mengira jumlah tugasan yang diberikan semata-mata.
- Jadikan retrospective benar-benar selamat: Jika sesi retro hanya menjadi laporan status atau sesi aduan, kumpulan kerja pastinya lambat laun tidak akan ambil peduli dengan ritual Agile ini. Gunakan retro untuk meraikan adaptasi kecil dan juga untuk menangani penyekat kerja secara sistemik.
3. Mengembalikan autonomi dan pemilikan
Ini yang paling banyak berlaku sepanjang kerjaya saya sebagai Scrum Master. Agile akan gagal apabila ianya menjadi kepada pengurusan kerja secara mikro di dalam ritual Daily Stand Ups. Apabila ahli kumpulan kerja merasakan mereka hanyalah sekadar penolak status tiket daripada penyelesai masalah, dokumentasi Waterfall akan menjadi perisai daripada menggalas apa-apa tanggungjawab.
- Bawa jurutera anda dekat dengan konteks produk sebenar dan masalah pengguna, dan bukanya hanya sekadar tiket JIRA yang sudah ditapis.
- Biarkan kumpulan kerja memiliki sepenuhnya cari kerja mereka, untuk mengukuhkan kepercayaan mereka kepada keboleh pakaran mereka dari segi kemahiran teknikal mereka.
4. Kecilkan kitaran maklum balas
Kita tidak akan dapat meyakinkan kumpulan kerja yang skeptikal dengan hanya mengajar mereka teori Agile, tetapi kita yakinkan mereka dengan kemenangan kecil yang pantas.
- Kurangkan jumlah User Story kepada bahagian terkecil yang termampu, yang akan memberi nilai sebenar di production dan juga staging.
- Tunjukkan kepada pihak berkepentingan bahawa perisian berfungsi dengan pantas supaya dapat mengurangkan kebimbangan mereka, sekaligus dalam mengurangkan tekanan yang mendorong kumpulan kerja kembali kepada kaedah Waterfall.
Kesimpulan
Cara kerja Agile bukanlah hanya sekadar upacara yang di ikuti secara membuta tuli; ia adalah suatu rangka kerja yang dibina berdasarkan tingkah laku manusia, kepercayaan dan adaptasi secara pantas. Apabila kumpulan kerja Agile mula tergelincir ke belakang, jangan hanya sekadar menekan dari segi peraturan – bina semula rasa selamat, kejelasan dan autonomi yang membuatkan Agile development sangatlah bernilai.

Be First to Comment