Pada 7 Mei 2018 bertempat di Seattle, Washington, telah berlangsung Microsoft BUILD 2018, hari di mana gergasi teknologi maklumat, Microsoft meraikan para pembina sistem yang menggunakan platform dari Microsoft. Acara ini dijadualkan berlangsung sehingga 9 Mei 2018. Sebagai salah seorang pembina sistem yang bertauliah dari Microsoft, saya tidak ketinggalan untuk mengikuti pengumuman, demonstrasi dan juga teknologi baru yang akan diperkenalkan pada acara ini. Mari kita ikuti rangkuman ringkas yang saya dapat karangkan dari acara BUILD 2018.
AI for Acessibility (Kepintaran buatan untuk orang kurang upaya)
Microsoft adalah salah sebuah syarikat yang mempelopori pelbagai bidang baru dalam dunia IT. Sebagai contoh, Microsoft adalah pelopor pertama dalam teknologi Cloud Computing dengan platform Azure. Kini Microsoft mengumumkan inisiatif terbaru dalam bidang kepintaran buatan dengan memperkenalkan program AI for Accessibility di mana Microsoft akan memberikan sokongan kepada para penyelidik dan pembina sistem untuk membina kepintaran buatan yang disokong dengan teknologi Cloud Computing dalam merealisasikan kepintaran buatan yang dapat membantu orang kurang upaya mengakses maklumat dan berhubung dengan orang lain.
Mari kita ikuti, pengumuman yang dibuat oleh Microsoft CEO sendiri, Satya Nadella.
Cortana + Alexa
Jika anda adalah salah seorang peminat game Halo, anda pasti mengenali Cortana, kepintaran buatan yang membantu kareter utama dalam permainan komputer Halo; Master Chief.
Apabila Microsoft membangunkan kepintaran buatan untuk aplikasi pembantu peribadi (Personal Assistant) projek tersebut telah diberi nama kod: Cortana sempena nama kepintaran buatan di dalam permainan komputer Halo. Walau bagaimanapun, nama tersebut sangat popular sehingga Microsoft memutuskan untuk menamakan kepintaran buatan mereka secara rasmi dengan nama Cortana. Sekiranya anda adalah pengguna Windows 10 atau juga pernah menggunakan Windows Mobile anda boleh memanggil Cortana untuk pelbagai fungsi seperti gelintar dan juga menjadualkan mesyuarat.
Tetapi, bagaimana pula dengan Alexa? Mungkin Alexa tidak begitu terkenal di luar dari Amerika Syarikat, kerana Alexa adalah aplikasi pembantu peribadi dengan keupayaan kepintaran buatan yang dibina oleh Amazon, syarikat gergasi dari Amerika Syarikat untuk e-dagang. Dibina untuk digunakan bersama Amazon Echo, Alexa berupaya untuk mendengar, menjawab soalan dan juga memainkan muzik bila diminta, hanya dengan menggunakan arahan suara.
Apabila Microsoft mengumumkan kerjasama dengan Amazon untuk membolehkan kedua-dua pembantu digital ini bekerjasama, saya agak terkejut sebenarnya. Namun apabila Microsoft CEO; Satya Nadella menegaskan, dia mahu Cortana tidak terbatas dalam satu platform sahaja, malah mampu berinteraksi dengan pelbagai aplikasi, ini termasuklah pembantu digital keluaran syarikat lain seperti Alexa.
Mari kita tonton, demonstrasi bagaimana interaksi antara Cortana dan Alexa dapat membantu kehidupan kita seharian.
Akan Datang – Bahagian 2
Pada bahagian kedua saya akan rangkumkan lagi pengumuman dan juga demonstrasi dari Microsoft BUILD 2018. Ini termasuk pengguna pelantar Azure untuk memperkuasakan aplikasi dan perkakasan untuk IoT (Internet Of Things) dalam membantu pembina sistem untuk membina sistem lengkap bagi industri-industri yang mereka terokai.
Be First to Comment