Baru-baru ini saya membaca satu artikel bertajuk “AI is Coming for Coordination Roles First: What Agile Leaders Need to Know” – daripada pemikir dari Scaled Agile, pencipta kerangka kerja SAFe. Dengan AI meneraju tajuk-tajuk utama kebelakangan ini, artikel ini membariskan idea yang agak menarik.
Menurut penulis, AI tidak datang untuk menggantikan pemimpin. AI juga belum mampu mengambil alih kebijaksanaan manusia dalam membuat keputusan yang kompleks.
Sebaliknya, AI akan datang untuk menggantikan kerja-kerja yang memerlukan koordinasi terlebih dahulu. Pada pengalaman saya, kenyataannya ada kebenaranya.
Kerja koordinasi sebenarnya ada di mana-mana
Apabila kita berbincang tentang Agile, Scrum atau SAFe, ramai yang membayangkan aktiviti seperti:
- Sprint Planning
- Daily Scrum
- Sprint Review
- Retrospective
- PI Planning
Tetapi jika kita perhatikan hari demi hari, sebahagian besar masa sebenarnya digunakan untuk:
- Mengumpul maklumat
- Menulis laporan status
- Mengemaskini dashboard
- Menyusun mini mesyuarat
- Mengesan dan menguruskan kebergantungan (dependencies)
- Menyampaikan maklumat kepada pihak berkepentingan (stakeholders)
Dengan kata lain, banyak masa dihabiskan untuk memastikan maklumat bergerak daripada satu pihak, kepada pihak yang lain.
Di sinilah AI mula menunjukkan kelebihan dan kekuatannya.
Hari ini, AI boleh menghadiri mesyuarat secara maya, menghasilkan ringkasan perbincangan, mengenal pasti tindakan susulan dan menyediakan laporan dalam beberapa minit sahaja.
Sesuatu yang sebelum ini mungkin mengambil masa berjam-jam lamanya.
Scrum Master perlu risau?
Jawapan pendek saya ialah:
Tidak.
Tetapi ada syaratnya.
Jika nilai Scrum Master hanya terletak pada:
- Menulis minit meeting
- Mengemaskini JIRA
- Menghasilkan laporan status
- Mengingatkan orang tentang deadline
Maka ya, AI akan menjadi pesaing yang sangat kuat.
Tetapi itu sebenarnya bukan tujuan asal Scrum Master.
Dalam Scrum Guide, Scrum Master digambarkan sebagai seorang pemimpin yang membantu pasukan memahami Scrum, menghapuskan halangan, memupuk pembelajaran dan meningkatkan keberkesanan organisasi.
Tiada satu pun perkara tersebut semata-mata berkaitan dengan dokumentasi atau laporan.
Ia melibatkan manusia.
Dan manusia masih belum boleh diuruskan dengan menggunakan prompt sahaja.
AI Tidak menyelesaikan masalah Penjajaran (Alignment)
Satu perkara yang saya sangat setuju dengan artikel tersebut ialah AI tidak mencipta penjajaran (alignment).
AI boleh mempercepatkan penyebaran maklumat.
Namun, jika organisasi tidak jelas mengenai:
- Arah tuju produk
- Keutamaan kerja
- Pemilikan keputusan
- Strategi perniagaan
AI hanya akan mempercepatkan kekeliruan yang sedia ada.
Konsep “garbage in, garbage out” masih relevan.
Jika organisasi mempunyai visi yang samar-samar, AI akan membantu menyebarkan kesamaran itu dengan lebih pantas.
Apa yang bakal berubah?
Dari pengalaman saya, apa yang kita lalui sekarang adalah memasuki di satu fasa di mana pemimpin-pemimpin Agile perlu beralih daripada “information coordinator” kepada “value creator“.
Dahulu kita dihargai kerana mampu mengurus aliran maklumat dan menyebarkanya mengikut kapasiti yang dikehendaki.
Kini, AI boleh melakukan sebahagian besar tugas tersebut.
Masa depan mungkin lebih menghargai individu yang mampu:
- Membantu organisasi membuat keputusan yang lebih baik.
- Menyelesaikan konflik antara pasukan
- Membina budaya pembelajaran
- Memudahkan perbincangan yang sukar
- Menghubungkan strategi pelaksanaan
- Meningkatkan keberkesanan organisasi
Ini adalah kemahiran yang jauh lebih sukar untuk diautomasikan.
Cabaran sebenar bukan AI
Maka dengan itu, ramai yang bertanya:
"Adakah AI akan menggantikan Scrum Master?"
Bagi saya soalan yang lebih penting ialah:
"Adakah Scrum Master mampu berevolusi sebelum AI mengambil alih kerja yang bernilai rendah?"
Kerana hakikatnya, sebahagian besar kerja koordinasi sudah mula diautomasi hari ini.
Microsoft Copilot, ChatGPT, Gemini, Notion AI, Plaud dan pelbagai lagi alat baharu muncul hampir setiap bulan.
Persoalannya bukan sama ada AI akan digunakan.
Tetapi persoalannya ialah, sama ada kita memilih untuk menjadi pengguna AI atau mangsa kepada perubahan yang dibawa olehnya.
Akhir kalam
Saya tidak melihat AI sebagai ancaman kepada profesion Scrum Master, Agile Coach atau RTE. Sebaliknya, saya melihat AI sebagai pemangkin yang memaksa kita kembali kepada tujuan asal kepimpinan Agile.
Mungkin selama ini kita terlalu sibuk mengurus maklumat sehingga terlupa bahawa tuga sebenar seorang pemimpin adalah membantu manusia dan organisasi berkembang. Apabila AI mengambil alih kerja koordinasi, kita mempunyai lebih banyak ruang untuk melakukan perkara yang benar-benar penting dan bermakna. Dan mungkin, itu merupakan peluang tebesar yang pernah diberikan oleh AI kepada komuniti Agile.
Sekadar untuk renungan:
Jika AI boleh mengambil alih semua laporan status, minit mesyuarat dan pengurusan kebergantungan anda mulai esok, apakah nilai unik yang masih anda bawa kepada pasukan dan organisasi anda?
Itulah mungkin jawapan sebenar kepada persoalan masa depan kepimpinan Agile.

Be First to Comment