Kereta elektrik adalah pengalaman baru buat saya. Pengalaman memandu kereta berkuasa petrol sejak 22 tahun yang lalu, mungkin sedikit berbeza dengan kereta elektrik generasi baharu ini. Hakikatnya, saya seorang yang suka mencuba teknologi baru. Dari pengalaman teruja mencuba sistem pengoperasian Microsoft terbaru yang tidak beberapa diterima umum (ahem, Windows Vista dan Windows 8) sehinggalah yang terbaru, kereta elektrik (EV).
Pelbagai sentimen dan perkara negatif diwar-warkan berkenaan dengan EV ni. Kereta pakai buang lah, kereta bateri rosak tersadai lah, dan pelbagai lagi saya dengari. Saya mendapat peluang untuk mendalami sedikit ilmu berkenaan EV ini apabila Volvo Malaysia menjemput saya untuk menghadiri Volvo EX30 Masterclass.
Jemputan dan tentatif program

Setelah 2 bulan memandu EX30, saya mendapat email jemputan berkenaan dengan Masterclass ini. Tanpa membuang masa, saya terus mendaftarkan diri saya untuk menyertai program tersebut.
Program tersebut diadakan di Volvo Federal Auto yang terletak di Glenmarie Shah Alam. Oleh kerana jarak rumah saya ke tempat program agak jauh dan akan mengambil masa sejam untuk sampai sebelum tentatif masa program bermula, saya memulakan perjalanan dari rumah dalam 7 pagi. Saya sampai di tempat program lebih kurang 7:55 pagi.
Saya disambut oleh pegawai pemasaran Volvo dan terus ke kaunter pendaftaran untuk mendaftarkan kehadiran saya. Seraya itu, mereka juga mengambil gambar saya dengan Volvo EX30 dan juga menjemput saya untuk sesi temuramah berkenaan dengan Volvo EX30 juga.
Saya kemudian mengambil tempat dan menunggu para peserta lain untuk turut hadir. Sementara menunggu, juadah sarapan pagi ada disediakan dan saya mengambil masa tersebut untuk bersarapan dan juga membelek tentatif program yang disediakan. Antara program pada hari tersebut:
Masterclass – Penerangan tentang ciri-ciri kereta elektrik dan juga teknologi kereta elektrik yang digunakan untuk Volvo EX30. Juga terdapat penerangan berkenaan ciri-ciri unik pada EX30 dan juga sesi soal jawab bersama-sama dengan pakar kenderaan elektrik dari Volvo Malaysia.
Lawatan ke fasiliti servis dan pembaikan kemalangan – Peserta dibawa melawat fasiliti yang disediakan oleh Volvo Malaysia untuk memastikan servis dan penyelenggaraan EX30 dalam keadaan baik dan selari dengan jaminan servis yang ditawarkan.
Penerangan keselamatan dan ciri-ciri keselamatan Volvo EX30 – Kalau sebut jenama Volvo, memang kita akan teringat dengan reputasi Volvo sebagai pengeluar kereta yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang canggih dan terkini. Namun begitu, pengguna juga perlu tahu menggunakan ciri-ciri keselamatan ini supaya dapat berfungsi dengan optimum.
Konvoi ke Putrajaya – Setelah segala penerangan dan juga penjelasan ke atas semua ciri-ciri EX30, semua peserta berpeluang untuk mencuba ciri-ciri tersebut dengan memandu sendiri EX30 bersama-sama dengan Volvo Malaysia ke Putrajaya.
Masterclass – memahami Volvo EX30
Sesi program dimulakan dengan ucapan pembukaan dari pihak Volvo Malaysia dan Federal Auto. Saya baru tahun Volvo dah berusia 90 tahun hahaha. Antara jenama eropah terawal yang membuka kilang CKD di Malaysia adalah Volvo. Semasa saya kecil, saya selalu melalui depan kilang Volvo di Shah Alam jika mahu ke Seksyen 16. Tak sangka pula saya akhirnya memandu sebuah kereta dari jenama ikonik dari Sweden ini.
Seterusnya, program diteruskan dengan taklimat berkenaan dengan EX30, bermula dengan falsafah pembuatan EX30 dan juga inspirasi dan rekabentuk kereta yang menjadikan keindahan alam semulajadi Scandinavian sebagai prinsip. EX30 juga adalah kereta yang mempunyai cetak karbon yang paling rendah dalam sejarah pembuatan kereta Volvo, dengan menggunakan banyak bahan kitar semula dalam binaan kereta elektrik ini. Ciri-ciri seperti prestasi kereta, jenis bateri, rekaan dalaman kereta, ciri keselamatan, sokongan penyambungan 5G, jenis dan pelan penyelenggaraan turut disertakan dalam bahagian pertama taklimat ini.
Bahagian kedua adalah sesi interaktif di mana peserta diberi peluang untuk bertanya kepada pakar-pakar kereta elektrik dari Volvo Malaysia berkenaan EX30 ini. Pelbagai soalan diajukan antara yang menarik perhatian saya adalah di mana kebimbangan penjagaan bateri kereta dan juga kos membaikinya bilamana ada kerosakan. Amatlah melegakan apabila Volvo menawarkan jaminan ke atas bateri selama 8 tahun dan juga Volvo Malaysia telah bersedia dengan melatih juruteknik bertauliah untuk menyelenggara dan memeriksa bateri kereta berkuasa tinggi ini jika perlu.
Soalan-soalan lain seperti cara membuka dan mengunci kereta juga di ajukan. Oleh kerana EX30 tiada lagi kekunci yang menggunakan butang untuk membuka dan mengunci kereta, kebanyakan pengguna baru terasa agak janggal dan masih tidak dapat membiasakan dengan ciri “walk away auto lock” yang Volvo EX30 tawarkan. Sebaiknya, Volvo juga patut menyegerakan ciri “digital key” di dalam telefon pintar untuk memudahkan kereta dikunci dan dibuka.
Melawat fasiliti servis dan pembaikan kemalangan
Setelah selesai sesi taklimat “Masterclass”, para peserta dibawa melawat fasiliti yang telah disediakan untuk para pelanggan Volvo untuk menyelenggara kereta elektrik mereka, atau untuk membaiki kerosakan disebabkan oleh kemalangan.
Saya didalam group A jadi kami dibawa melawat ke “Vehicle Crash Disaster Recovery -VCDR” center terlebih dahulu. Di sana, kami diberi taklimat khusus berkenaan proses membaiki kenderaan akibat kemalangan, dari proses “claim” dengan pihak insurans, sehinggalah kepada kerja-kerja pembaikan.
Seterusnya, kami dibawa melihat fasiliti servis. Kami diberitahu prosedur standard yang agak berlainan dengan pusat servis yang biasa saya pergi (Toyota, Honda dan Perodua) kerana Volvo memperkenalkan Volvo Personal Service (VPS). Ini membolehkan seseorang juruteknik servis untuk melayan satu pelanggan sahaja pada satu masa bermula dari kereta dihantar di pusat servis, sehinggalah kepada penghantaran balik kepada pelanggan.
Penerangan keselamatan kereta Volvo EX30
Seterusnya kami dibawa untuk taklimat keselamatan dengan kereta Volvo EX30. Jurulatih keselamatan Volvo menerangkan cara menetapkan kedudukan kerusi yang betul, dan juga kedudukan steering ketika pemanduan. Penetapan sistem keselamatan Volvo juga ada diterangkan, termasuk penggunaan “Pilot Assist”, sebuah sistem pembantu pemanduan yang direka khas untuk Volvo EX30.
Pemanduan konvoi untuk mencuba ciri-ciri Volvo EX30 ke Putrajaya
Setelah dibawa melawat dan juga taklimat keselamatan, tibalah masanya untuk para peserta mencuba sendiri kesemua tips dan panduan yang diberikan ketika sesi Masterclass dan taklimat keselamatan. Bagi saya secara peribadi ini adalah pertama kali saya menyertai konvoi pemanduan kereta. Tetapi pihak Volvo Malaysia telah bersedia dengan para jurulatih yang berpengalaman untuk memberi panduan sepanjang perjalanan.
Sepanjang perjalanan ke Putrajaya dari Glenmarie, trafik agak sesak kerana waktu konvoi kami bergerak adalah pada waktu puncak. Maka disini saya mengambil kesempatan untuk menggunakan ciri pembantu pemanduan “Pilot Assist” yang pada hemat saya amat berguna ketika kesesakan trafik. Sistem pembantu ini tidak terlalu intrusif dan mengejut, malah memberikan ruang untuk pemandu mengawal sepenuhnya kenderaan jika perlu.
Setelah memandu dan mengharung kesesakan lalulintas, kami akhirnya tiba ke destinasi di Double Tree Hilton, Putrajaya. Pihak Volvo Malaysia telah menyediakan makan tengah hari untuk para peserta di sana.
Sambil menikmati juadah tengah hari, kami berpeluang untuk berbincang dan berkongsi pengalaman pemanduan dan pemilikan EX30 bersama dengan peserta yang lain.
Kesimpulan
Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih dan syabas kepada Volvo Malaysia kerana sudi menjemput saya menyertai program ini. Sebagai pemilik kereta elektrik yang baru, saya merasakan sesi Masterclass ini memberi nilai tambah dan juga pengetahuan kepada saya yang baharu saja mencuba menjadikan kereta berkuasa elektrik sebagai kenderaan harian saya. Saya harap Volvo Malaysia akan terus menjemput saya dan juga para pelanggan Volvo Malaysia yang lain untuk turut serta dalam revolusi kenderaan elektrik di Malaysia.
Sekiranya pembaca ada soalan atau komen, tuliskan soalan dan komen anda dibawah, Insya-Allah saya akan balas jika berkesempatan. Perjalanan sebagai salah sebuah pemilik kenderaan elektrik di Malaysia untuk saya sudah pun bermula, anda pula bagaimana?
Be First to Comment