Volvo EX30 merupakan salah satu kenderaan elektrik kompak yang menarik perhatian saya apabila ianya dilancarkan untuk di pasaran Malaysia. Dengan gabungan reka bentuk yang elegan, prestasi mengagumkan, dan teknologi canggih, model ini memberikan pengalaman memandu yang istimewa. Setelah mencuba sendiri “test drive” model ini, saya terus terpesona dan membeli Volvo EX30 Single Motor Extended Range Ultra dan berikut adalah pandangan saya tentang kenderaan ini setelah memandunya sebagai kenderaan untuk berulang alik ke tempat kerja dan sudah menjangkau 1000km perjalanan.
Reka Bentuk dan Keselesaan
Volvo EX30 menampilkan reka bentuk yang moden dan menarik. Bahagian hadapan dengan gril yang aerodinamik dan lampu hadapan LED memberikan kesan futuristik. Bentuk lampu seakan-akan bentuk “Thor hammer” begitu menggamit perhatian saya. Rekaan luarannya sangatlah segar dengan tiada lagi grill untuk “air intake” dan digantikan sepenuhnya dengan rekaan tertutup dan logo Volvo yang menonjol.
Reka bentuk dalaman juga tidak kurang hebatnya; kabin yang luas dan selesa dengan sentuhan bahan premium mencipta suasana yang mewah. Volvo menggunakan bahan-bahan yang boleh dikitar semula untuk mereka kabin dalaman EX30.
Tempat duduk yang selesa dan ergonomik memberikan sokongan yang baik sepanjang perjalanan, walaupun untuk perjalanan jauh. Sistem infotainment yang canggih dan mudah digunakan menambah keseronokan memandu.
Prestasi dan Pengendalian
Dengan motor tunggal yang menghasilkan 272 hp dan tork 343 Nm, Volvo EX30 memberikan pecutan yang tangkas. Dari 0-100 km/j hanya dalam masa 5.3 saat, ia mudah menandingi kebanyakan kenderaan dalam kelasnya. Pengendalian yang responsif dan stabil menjadikannya seronok untuk dipandu sama ada di jalan bandar atau lebuh raya.
Oleh kerana ini adalah kereta elektrik saya yang pertama setelah bertahun tahun memandu kereta dikuasakan dengan petrol, ianya adalah pengalaman memandu baru yang menakjubkan. Dengan kuasa dijana terus ke tayar dari motor elektrik tanpa memerlukan transmisi enjin, ianya sangat mengujakan.
Pengendalian dan suspensi EX30 juga sesuai dengan keadaan jalan raya di Malaysia, tidak terlalu keras atau terlalu lembut dan juga memberi keyakinan semasa mengambil selekoh.
Jarak Perjalanan dan Kecekapan
Salah satu kelebihan utama Volvo EX30 ialah jarak perjalanan yang mengagumkan. Dengan kapasiti bateri 69 kWh, ia mampu menempuh sehingga 476 km dengan sekali cas penuh. Ini sangat praktikal untuk penggunaan harian tanpa perlu risau tentang pengecasan yang kerap.
Saya menggunakan kereta ini untuk berulang alik ke tempat kerja sekitar 100km sehari. Sistem EX30 menunjukan secara purata saya menggunakan sekitar 15 hingga 16 kWh untuk setiap 100km. Sekiranya saya memulakan perjalanan dengan cas bateri pada tahap 90%, saya akan hanya menggunakan 30% sahaja sehari utk ke tempat kerja dan masih ada baki 60% lagi.
Pengalaman Mengecas
Pengecasan Volvo EX30 juga sangat efisien. Dengan pengecas DC, anda boleh mengecas dari 10% hingga 80% hanya dalam masa 28 minit. Ini sangat memudahkan bagi mereka yang sentiasa bergerak dan memerlukan pengecasan pantas.
Tetapi lazimnya saya akan mengecas kereta ini di rumah sebaik sahaja balik dari tempat kerja. Saya masih lagi tidak berpeluang menggunakan pengecasan pantas di lebuhraya dan tempat pengecasan awam lain kerana biasanya cukup untuk berjalan di bandar-bandar dengan sekali pengecasan sahaja.
Ciri Keselamatan
Sebagai sebuah Volvo, keselamatan adalah prioriti. Volvo EX30 dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan canggih seperti Lane Keeping Aid, Blind Spot Information System, dan Pilot Assist. Ini memberikan ketenangan fikiran kepada pemandu dan penumpang.
Volvo sudah sinonim dengan keselamatan dan mempunyai reputasi membina kereta penumpang yang sangat selamat. Penarafan terbaru 5 bintang NCAP untuk EX30 adalah sudah dijangka dan saya amat yakin dengan ciri-ciri keselamatan pada kereta ini.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, Volvo EX30 menawarkan pengalaman memandu yang luar biasa dengan gabungan prestasi, kecekapan, dan keselesaan. Ia bukan sahaja mesra alam tetapi juga praktikal untuk kegunaan harian. Bagi mereka yang mencari kenderaan elektrik kompak dengan prestasi tinggi dan reka bentuk premium, Volvo EX30 adalah pilihan yang sangat baik.

Sekian perkongsian pengalaman memandu saya. Bagaimana dengan anda? Ada pengalaman menarik dengan kenderaan elektrik lain? Mari kongsi di ruangan komen! 🚗⚡
Be First to Comment