Tanggal 26 November 2010, saya telah diterima bekerja di sebuah firma multinasional di Cyberjaya. Masih segar dalam ingatan saya ketika itu adalah disebabkan saya baru sahaja seminggu menghabiskan pengajian di peringkat Sarjana. Proses yg amat singkat dengan temuduga sebanyak dua kali dan ianya juga adalah temuduga pertama saya sejak saya tamat pengajian.
Melangkah masuk ke alam pekerjaan dengan berbekalkan kelulusan Sarjana
Mungkin sudah tersurat, rezeki saya apabila dipanggil temu duga untuk jawatan Analyst Programmer di sebuah firma multinasional di Cyberjaya. Pertama kali saya menghadiri temuduga dan ditemani abah ke tempat temuduga. Mungkin setelah 7 tahun bergelar mahasiswa dari Diploma, ke Sarjana Muda dan Sarjana membuatkan abah saya teruja. Saya pun cemas juga, maklumlah pertama kali hadir ke temuduga kerja.
Untuk temuduga pertama, saya ditemu duga oleh seorang business analyst untuk sebuat projek. Pada akhir temuduga, saya masih ingat penemu duga itu berkata pada saya:
“Sebab encik fresh grad, kami hanya boleh beri gaji pada tahap ijazah sarjana muda sahaja, bukan pada tahap sarjana”
Pada masa itu, saya tidak pernah memikirkan soal gaji. Jika ditanya pada pengalaman, saya sudah melalui internship sebanyak dua kali, semasa pengajian Diploma dan juga Ijazah Sarjana Muda. Kalau ikutkan, saya ada setahun lebih pengalaman bekerja pada waktu itu. Tetapi saya akur kerana apa yang saya sasarkan bukan gaji yang tinggi, tapi pengalaman yang ingin di timba.
Alhamdulillah, saya diambil bekerja…
Pada pagi 26 November, saya menulis status pertama di Facebook. Saya tidak menyangka pada hari yang sama, saya menerima panggilan yang mengatakan saya di terima dan diambil bekerja di syarikat MNC tersebut. Perasaan saya ketika itu bercampur baur. Gembira kerana mendapat pekerjaan dalam masa yang singkat, pada masa yang sama sedikit gerun sebab masuk bekerja selepas bertahun lamanya menimba ilmu di universiti. Saya ditawarkan kontrak selama 6 bulan. Berdebar-debarlah menunggu hari pertama untuk mendaftarkan diri untuk bekerja.
Pada hari pertama bekerja, saya menunggang motosikal Elegan yang saya gunakan ketika di universiti dahulu. Dari Shah Alam ke Cyberjaya, agak jauh juga. Tapi saya gagahkan juga. Masa tu baru saya faham “Rush Hour” punya trafik. Dengan kenderaan dan motorsikal berpusu-pusu untuk ke tempat kerja. Saya tiba awal pada hari itu. Setelah melaporkan diri kepada HR, saya diberi sesi orientasi dan juga ditunjukkan meja bekerja dan komputer tempat saya bekerja. Oleh kerana MNC saya dari Jepun, komputer pun jenama dari Jepun dengan papan kekunci bertanda katakana.
Saya diberikan tanggungjawab sebagai pengaturcara utama untuk sebuah sistem inventori berasaskan Java Spring framework. Pada masa itu, Spring framework masih lagi dalam peringkat awal, namun begitu konsep MVC telah digunapakai dan saya perlu menguasai Java dan juga konsep MVC ini dengan baik untuk membolehkan saya melaksanakan tugasan yang diberi. Banyak pengalaman yang saya dapat selama 6 bulan saya bekerja di MNC ini.
Setelah 10 tahun…
Setelah 10 tahun dan 7 buah syarikat yang berbeza, dah tak terkira berapa banyak temuduga yang saya pergi. Dari syarikat multi-nasional, kepada syarikat milik bumiputera dan juga syarikat “start-up”, pengalaman mengajar saya selok belok industri dan juga kaedah-kaedah penting dalam dunia IT di Malaysia. Saya juga mula menaiki tangga karier dengan mengenali kaedah pengurusan terutamanya kaedah Scrum dalam pembangunan sistem.
Kepesatan perkembangan teknologi membuatkan saya tidak duduk diam. Malah sentiasa perlu mengikut arus kemodenan teknologi IT terkini. Dengan itu, saya perlu terus progresif dalam mempelajari ilmu-ilmu baru agar sentiasa relevan dan dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Be First to Comment