Skip to content

Panduan memilih komputer (laptop/desktop) untuk pelajar

Sesi semester baru untuk pelajar universiti baru sahaja bermula. Kebiasaannya, para ibu bapa akan mempersiapkan anak-anak mereka untuk menempuh alam pembelajaran di unversiti. Tidak kurang pentingnya kelengkapan pembelajaran seperti buku-buku, alat-tulis dan juga di zaman yang serba canggih ini, sebuah komputer untuk memudahkan pembelajaran dan juga menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.

Melalui pengalaman saya sebagai seorang pelajar bidang sains komputer, komputer amat penting kerana kesemua tugasan saya memerlukan komputer untuk disiapkan, dan juga penting untuk kita ketahui bahawa tidak semua ibu bapa mampu membelikan komputer yang harganya agak mahal. Saya ingin membantu dari segi panduan pembelian agar komputer yang dibeli dapat membantu pembelajaran dan juga dapat membantu dari segi lain seperti permainan komputer, menonton video, mendengar lagu dan sebagainya.

Langkah 1: Tetapkan Bajet

Langkah pertama sebelum membuat pemilihan pembelian laptop adalah menetapkan bajet untuk pembelian. Setiap laptop yang ada di pasaran mempunyai jangkauan harga masing-masing, tertakluk kepada sepesifikasi sesebuah laptop tersebut. Kebanyakan jenama laptop terkenal seperti Dell, HP, Lenovo, Acer dan Asus mempunyai harga mengikut spesifikasi bergantung kepada tujuan penggunaan komputer (lebih lanjut lagi di langkah ke-2). Justeru, adalah penting untuk kita menetapkan bajet mengikut kemampuan masing-masing.

Langkah 2: Ketahui tujuan penggunaan komputer

Biasanya langkah ini tidak diambil berat dan tidak difikirkan sebaiknya lantas pembelian komputer yang dibuat tidak dapat mencapai objektif dan tujuan penggunaan sesebuah komputer. Seperti mana baju ada pelbagai saiz, begitu juga komputer, yang dibina dan direka bentuk sesuai dengan objektif dan tujuan pengguna komputer tersebut. Justeru itu, langkah ini amat penting, supaya komputer yang dibeli sesuai dengan tujuan pengguna dan memastikan komputer yang dibeli dapat digunakan untuk tujuan tersebut. Saya bahagikan kategori penggunaan kepada tiga:

  • Penggunaan ringan (contoh: melayari laman web, menonton video, mendengar lagu, menulis dokumen atau blog)
  • Penggunaan berat (contoh: bermain permainan komputer, perisian suntingan 3D, video, audio, perisian pengiraan statistik)
  • Penggunaan universal dan memudahkan pergerakan (contoh: boleh membuat semua tugas di atas dan juga laptop ringan dan mudah dibawa ke mana-mana)

Langkah 3: Kenali spesifikasi sistem berdasarkan tujuan penggunaan

Setelah kita mengenal pasti tujuan penggunaan komputer, mari kita kenali apakah spesifikasi laptop yang sesuai bergantung kepada penggunaan:

  • Penggunaan ringan
    • Untuk melaksanakan penggunaan ringan, spesifikasi sistem yang diperlukan adalah tidak begitu tinggi. Ini kerana, kebanyakan laptop yang berada dipasaran sememangnya lebih dari berkuasa untuk tujuan pengunaan ringan.
    • Contoh spesifikasi:
      • Intel/AMD processor (dual core atau quad core). Contoh: Intel Core i3 atau Core i5 dan AMD Ryzen 3 atau Ryzen 5
      • Saiz RAM dari 4GB ke 8GB
      • Saiz hard disk dalam 500GB atau 1TB. (Jika laptop menawarkan SSD, pastikan ianya 250GB dan ke atas untuk menampung saiz sistem operasi)
      • Intel/AMD onboard graphics (tidak memerlukan dedicated graphic card untuk penggunaan ringan)
  • Penggunaan berat
    • Penggunaan aplikasi yang memerlukan sistem pemprosesan komputer bekerja keras seperti 3D rendering, video and photo editing, pengiraan data-data besar memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi serta ruangan saiz memori yang besar. Permainan komputer juga memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi dari CPU dan juga GPU.
    • Contoh spesifikasi:
      • Intel/AMD processor (quad core atau lebih). Intel Core i7 atau Core i9 dan AMD Ryzen 7 atau Ryzen 9
      • Saiz RAM dari 16GB ke 32GB
      • Saiz harddisk lebih tinggi, minimum 1TB ke 2TB. Lebih baik kalau ianya adalah jenis SSD.
      • Dedicated graphics dari NVIDIA GeForce GTX 1660 Ti hinggalah ke 2080 Ti. AMD juga ada menawarkan Radeon RX5500 atau RX5600.

Langkah 4: Saiz dan berat laptop

Ramai yang memandang mudah tentang saiz dan berat laptop yang ingin dibeli. Saiz laptop ini datang dalam pelbagai saiz. Dari sekecil 11 inci, hinggalah ke 17 inci, saiz laptop ini akan mempengaruhi berat sesebuah laptop tersebut.

Pada pendapat saya, apa yang pelajar universiti perlukan adalah laptop yang saiz sederhana, dari 13 inci ke 15 inci kerana kebanyakan laptop dalam rangkuman harga ini adalah tidak begitu mahal dan juga mempunyai bateri yg cukup besar untuk penggunaan seharian di kuliah. Berat juga menjadi faktor apabila laptop ini perlu dibawa ke kuliah, ke perpustakaan dan sebagainya. Laptop dengan berat 1.2kg ke 2.5kg adalah ideal untuk dimuatkan ke dalam beg pelajar bersama-sama dengan buku dan keperluan kuliah yang lain.

Langkah 5: Buat survey laptop yang padan dengan bajet dan tujuan penggunaan

Setelah mengenal pasti tujuan penggunaan dan juga bajet yang ada, mulakan model laptop yang ingin dibeli. Spesifikasi asas yang saya berikan berdasarkan tujuan penggunaan boleh dipadankan dengan harga laptop yang ingin dibeli. Kebiasaanya, laptop dengan julat harga RM2500 – RM3500 sudah cukup memadai untuk tujuan penggunaan ringan atau universal.

Walau bagaimanapun, harga laptop untuk penggunaan yang berat mungkin boleh mencecah lebih dari RM5000 kerana menggunakan komponen yang berprestasi tinggi dan juga memerlukan saiz bateri yang besar dan sistem penyejuk yang lebih baik.

Nasihat saya, belilah mengikut kemampuan dan tidak perlu mengeluarkan belanja yang tinggi kerana teknologi komputer ini pantas berkembang dan sentiasa ada model keluaran baru yang lebih baik. Beli sekadar keperluan untuk pembelajaran universiti dan jika dijaga dipakai dengan elok, boleh digunakan sehingga memasuki alam pekerjaan.

Langkah terakhir: Buat pembelian

Setelah menjumpai model laptop yang di ingini, langkah terakhir ialah dengan membuat pembelian. Pastikan pembelian dibuat di saluran rasmi seperti di kedai-kedai komputer atau portal kedai atas talian seperti shopee dan lazada untuk mengelakkan penipuan.

Model pilihan saya – penggunaan ringan

Dell Inspiron 14 – 5000 (bermula dari RM2599)

Model pilihan saya – penggunaan berat

Dell G5 15 Gaming laptop (bermula dari RM4199)

Tips: Refurbished laptop dari Dell Malaysia

Untuk pelajar yang ingin mencari laptop dengan harga yang rendah tetapi masih lagi dalam jaminan pengeluar, Dell Malaysia ada menawarkan refurbished laptop beserta jaminan dari Dell Malaysia. Harga yang ditawarkan juga kompetetif dan mungkin ada spesifikasi laptop yang tinggi boleh didapati dengan harga yang amat berpatutan. Sekiranya berminat, klik pautan ini: https://www.dell.com/en-my/outlet/SystemsStockRoomDetails?~ck=mn&lob=&seg=DFH&cyid=4&type=S&segid=13&brandid=25&brand=Refurbished%20Laptops%20%26%20Tablets&pid=2

Published inPanduan

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *