Mungkin ramai yang mengidamkan untuk memiliki sebuah komputer riba buatan syarikat gergasi IT Amerika, Apple. Sebagai seorang pengguna Microsoft Windows hampir sepanjang hidup saya, saya tidak pernah terfikir untuk membeli sebuah komputer dari Apple, kerana harganya yang sangat mahal. Namun begitu, sentuhan pertama saya dalam dunia IT adalah bermula dengan menggunakan komputer Apple.
Macintosh Classic
Komputer ini cukup mengagumkan untuk minda saya yang ketika itu berumur 7 tahun. Melihat abah menggunakan mesin ini untuk menggantikan mesin taipnya yang sudah uzur, seolah-olah melihat sesuatu yang menjelma dari masa hadapan. Binaan komputer ini ringkas, dengan skrin hitam putih monochrome, papan kekunci dan tetikus. Saya masih ingat komputer ini mempunyai pemacu disket terbina dalam, dan juga sistem operasinya, classic Mac OS. Masih tersemat dalam ingatan saya, permainan puzzle logo Apple di dalam komputer ini. Komputer ini mempunyai UI (User Interface) yang mudah difahami dan cukup menarik walaupun dalam warna hitam putih. Ia kekal dalam ingatan saya sebagai sentuhan pertama saya dalam dunia perkomputeran.
28 tahun kemudian…
Saya meninggalkan dunia komputer Apple apabila mula berkenalan dengan PC dan juga sistem operasi Windows. Mungkin kerana harganya lebih murah dan mudah diakses, ianya menjadi pilihan saya sepanjang saya menjadi pelajar dan mahasiswa universiti. Komputer Apple pada hemat saya agak mahal, dan diluar jangkauan kemampuan saya. Hanya mampu memerhati dari jauh orang kata.
Setelah saya masuk ke dunia pekerjaan, salah satu syarikat saya bekerja memberikan saya Macbook Pro 15, model tahun 2016. Pada mulanya saya agak kekok menggunakannya. Maklumlah dah berpuluh tahun menggunakan PC dan juga sistem operasi MS Windows. Tetapi saya dapat memahirkan diri dengan sistem operasi Mac OS dan juga jatuh hati dengan laptop ini kerana saya lebih fokus dalam menggunakannya ketika kerja. Barangkali kerana Mac OS pada ketika itu tidaklah mempunyai banyak permainan komputer seperti di Windows PC.
Buka Kotak
Dari mata jatuh ke hati
Pada pandangan pertama, saya rasa laptop in besar. Dan sememangnya besar, dengan saiz skrin retina 16 inci dengan teknologi True Tone, laptop ini membawa paparan sebesar 3072 x 1920 pixel yang memberikan saiz skrin yang cukup besar dan ampuh untuk para professional yang memerlukan saiz skrin yang besar di lapangan kerja.
Model macbook pro 16 yang saya dapatkan ini adalah model yang dilengkapkan dengan prosessor 8 core, Intel Core i9 yang berkelajuan 2.3Ghz. Saya juga memilih 16GB DDR4 RAM dan saiz SSD 1TB. Laptop ini juga dilengkapi dengan AMD Radeon Pro 5500M untuk memberikan extra ummph apabila membuat kerja-kerja rendering serta Intel UHD graphics 630 untuk penjimatan bateri apabila tidak memerlukan kerja-kerja yang berintensi tinggi.
Penggunaan dan keselesaan
Saya tidak akan membuat sebarang “benchmark” untuk laptop ini kerana saya lebih berminat untuk menulis dari segi aspek penggunaannya pada saya. Pada hemat saya, saya berpuas hati dengan macbook ini, terutama dari segi keselesaan dan juga kepuasan apabila membuat sesuatu kerja.
Salah satu tujuan saya membeli laptop ini adalah supaya membolehkan saya meneroka ke arah pembangunan aplikasi mudah alih untuk platform Android dan juga iOS. Saya juga berpeluang menggunakan beberapa perisian eksklusif yang hanya boleh didapati di Mac OS seperti Sketch dan juga Supernova Studio yang banyak membantu dari segi rekabentuk pembangunan sesuatu UI/UX aplikasi mudah alih.
Ramai juga yang memberi komen bahawa papan kekunci macbook pro ini telah kembali kepada “scissors” switch setelah Apple bereksperimentasi dengan “butterfly” switch untuk beberapa tahun. Bagi saya, papan kekunci macbook pro ini sama rasanya dengan papan kekunci macbook pro yang saya gunakan dahulu ketika bekerja pada tahun 2016.
Laptop ini juga mempunyai speaker yang amat mengagumkan. Saya berasa kagum apabila pertama kali mendengar bunyi yang dihasilkan. Kesemua tona bunyai adalah tepat dan juga sedap didengar. Macbook pro 16 juga dilengkapi dengan microphone yang berkualiti tinggi untuk rakaman audio yang lebih jelas. Tetapi dari segi kamera, Apple masih menggunakan webcam dengan resolusi 720p. Boleh lah untuk buat panggilan video terutamanya sekarang ketika perintah kawalan pergerakan ini yang memerlukan kerja dari rumah.
Kesimpulan
Macbook Pro 16 adalah antara komputer yang mempunyai harga yang tinggi, namun begitu kualiti binaan dan reka bentuk, serta keselesaan pemakaian adalah amat berbaloi untuk para professional yang memerlukan laptop berprestasi tinggi dan juga memberikan keselesaan apabila digunakan.
Be First to Comment