“Abah, ada orang kata Allah tak sayang Zulkhairi sebab tulis pakai tangan kiri” – adu anak ku dengan air matanya bergenang. Tergambar kesedihannya yang amat sangat.
Aku tergamam. Tak terucap apa-apa kata ketika itu, hanya mampu memeluk anak lelaki ku yang juga seorang kidal seperti ku.
Hina sangat ke orang kidal ni?
Aku tak minta dilahirkan kidal
Dalam 7 orang adik-beradik, hanya aku seorang yang mewarisi gen kidal dari abah ku. Dan ianya tidak mudah membesar dengan kesemuanya secara semulajadi aku menggunakan tangan kiri atau kaki kiri dahulu untuk memulakan apa-apa pergerakan anggota badan.
Tak cukup dengan itu, aku juga pernah berasa pelik melihat jam bergerak ke arah kanan. Turut dimarahi apabila menggunakan tangan kiri ketika makan, di hina, di herdik.
“Kau kawan setan ke”
“Kau tak sayang nabi ke”
“Kau nak masuk neraka ke”
Tidak tergambar dengan kata-kata betapa kelirunya aku ketika itu. Mereka memandang aku dengan pandangan yang jelek, seolah-olah aku dah buat dosa besar. Hidup dalam dunia di mana orang yang menggunakan tangan kanan lebih dominan, menyebabkan aku suka menyendiri dan tidak mencampuri urusan orang lain.
Mencari ketenangan diri
Dalam bab menulis pula, aku tidak suka menulis rumi. Sebabnya? Dengan tulisan dimulakan dari kiri ke kanan, tangan kiri ku akan menyeret tulisan pensel/pen dan dakwat akan melekat di tangan menyebabkan tulisan tangan rumi ku kelihatan begitu comot. Akibatnya aku dimarahi lagi oleh cikgu kerana tulisan yang tidak kemas dan kotor. Betapa “struggle”nya mahu menulis dalam rumi.
Aku temui kedamaian dengan menulis tulisan “Jawi”. Dimulakan dari kanan ke kiri, setiap stroke tulisan jawi amat kena dengan jiwa. Malah dengan tulisan jawi juga aku temui ketenangan apabila menulis. Tulisan khat amat mudah dengan tangan kiri. Mungkin sebab itu juga, tulisan jawi ku amat cantik dan tidak comot.
Dalam usaha untuk menyesuaikan diri dalam dunia tangan kanan yang dominan, aku dipaksa untuk menggunakan alatan orang tangan kanan. Sebenarnya amat menyeksakan, tetapi tiada pilihan. Dalam mana kita diajar untuk tidak membantah atau hanya menurut sahaja arahan, menjadi satu dendam dalam diri apabila kita diseksa dalam diam.
Demi anak
Apabila anak sulung ku lahir, aku tak minta dia untuk kidal. Tapi Allah lebih mengetahui, dan mengurniakan seorang anak yang juga kidal seperti ku. Aku nekad untuk tidak memaksa beliau menggunakan tangan kanan dalam perkara remeh seperti menulis. Aku tidak mahu dia terseksa apabila dipaksa menggunakan sesuatu yang direka untuk orang tangan kanan.
Mungkin ada hikmahnya, agar aku mendidik anak ini menjadi lebih baik dari diriku. Semoga kekidalan nya tidak mematahkan semangat nya untuk terus belajar dan hidup di dunia yang serba mencabar. Cuma aku kesal masih ada lagi stigma negatif dengan orang kidal ini.
Biarlah aku guna tangan kiri
Biarlah aku guna “tangan syaitan” ni untuk meneruskan kehidupan. Tangan kiri ini pun anugerah dari Allah. Mungkin Allah mahu uji kesabaran ku dari kecil lagi dengan ejekan dan cacian manusia yang tidak kidal. Dan aku bersyukur masih ada anggota badan yang cukup untuk meneruskan kehidupan.
Buat manusia yang bukan kidal, bersyukurlah kerana tidak perlu menghadapi dugaan ini. Semoga ejekan dan cacian kepada kami yang kidal ini tidak jatuh ke anak-anak mereka, dan memaksa mereka menggunakan tangan kanan dan kemudian berbangga anak mereka tidak lagi kidal adalah satu bentuk penyeksaan kepada anak yang kidal.
Be First to Comment