Skip to content

Kerja dari rumah? – Pengalaman saya sepanjang pandemik Covid-19 (bahagian 2)

Dalam bahagian 1, saya menulis tentang kelengkapan yang saya tambah untuk menukar “gaming desk” kepada “home office” di rumah. Dalam bahagian 2 ini, saya ingin menulis pengalaman bekerja dari rumah dan cara kerja saya ketika mendepani pandemik Covid-19 serta cabarannya bekerja secara “remote” dari setiap rakan sekerja yang kita biasa bekerja di pejabat.

2014 – Apabila pejabat terbakar…

Pada tahun 2014, pejabat tempat saya bekerja mengalami kebakaran di bilik server, menyebabkan tingkat satu pejabat terbakar dan berbau plastik. Walaupun begitu, kebakaran dapat dikawal dan masih ada peralatan pejabat yang terselamat (termasuk komputer kerja saya). Pada mulanya semua pekerja diberi cuti 3 hari, untuk pihak bomba dan syarikat buat penilaian insurans untuk kerosakan akibat kebakaran tersebut. Namun begitu, berlainan pula bagi jabatan IT, kami diarah untuk mengambil kelengkapan komputer di pejabat dan bawa balik untuk sambung kerja di rumah.

Bayangkan la kena angkut CPU besar gedabak tu dari pejabat dan naik ke rumah apartment saya di tingkat 4 tanpa lif. Ha senaman weh! Lepas seharian “memindahkan” kelengkapan komputer dan memasangnya, tiba pula cabaran kedua, capaian Internet dari rumah yg agak, ehem… perlahan. Apatah lagi sistem syarikat memerlukan capaian VPN dan juga perlu buat video call dan sebagainya. Pada masa tu, saya masih menggunakan TM Streamyx, walaupun sudah ada Unifi di kawasan apartment saya, sebelum ni rasa tak perlu kot nak langgan high speed Internet. Bila dah jadi mcm ni, berlari ke pejabat TM minta dia pasang cepat hahaha.

Saya bekerja dari rumah selama hampir 4 bulan. Tak lama selepas itu, syarikat membuat keputusan untuk memindahkan operasi pejabat ke tempat lain, dan saya tidak kembali ke pejabat lama. Pengalaman kerja dari rumah selama 4 bulan cukup mengajar saya yang kerja dari rumah tidaklah semudah dan seseronok yang disangka, malah lebih tertekan dari kerja di pejabat.

2020 – Pandemik melanda Malaysia…

Sebelum pandemik melanda, syarikat tempat saya bekerja memang membenarkan kerja dari rumah. Tetapi, saya lebih gemar pergi ke pejabat untuk merasa “mood” dapat travel untuk pergi bekerja dan juga dapat berjumpa dengan rakan sepejabat dan kerja secara berpasukan. Di pejabat juga ada suasana kondusif yang menyuntik semangat produktiviti, seperti kerusi dan meja yang selesa, multi-monitor setup , ruang bilik untuk mesyuarat yang selesa dan juga ruang rehat yang menyediakan minuman percuma serta konsol permainan Xbox One, hahaha.

Apabila Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) dikeluarkan, syarikat telah mula membenarkan semua pekerja bekerja dari rumah seminggu lagi awal. Oleh kerana pengalaman lalu mengajar saya, maka saya lebih bersedia kali ini. Dengan pantas, saya “convert” PC gaming station saya kepada workstation seperti mana yang saya tulis dalam bahagian 1. Walaupun begitu, saya cuma tidak bersedia dari satu segi, kerana pandemik yang melanda ini telah merubah semua perkara yang “kebiasaan”.

Bermula dengan cara kerja. Oleh kerana saya telah terbiasa dengan kerja berpasukan yang selalunya memerlukan interaksi secara bersemuka dan cepat untuk mendapatkan sebarang maklum balas berkenaan dengan kerja-kerja yang sedang dilakukan oleh pasukan pembina. Di sini, disiplin dan professionalisme memainkan peranan penting, supaya kerja-kerja yang telah dijadualkan dapat disiapkan tepat pada masanya. Berbekalkan pengalaman lalu, saya aplikasikan sepenuhnya dalam menempuh “norma baharu” dalam dunia pekerjaan saya.

Pada mulanya agak kekok, dengan adaptasi sepenuhnya aplikasi Microsoft Teams untuk semua urusan komunikasi yang sebelum ini menggunakan aplikasi Slack dan Skype. Namun begitu, Microsoft Teams mempunyai kekangan yang tersendiri. Sebagai contoh, MS Teams tidak dapat menampung mesyuarat secara maya lebih dari 100 orang. Ini agak sukar apabila syarikat tempat kerja saya ingin melakukan webinar dan juga townhall. Oleh itu, platform Zoom menjadi pilihan untuk melakukan mesyuarat maya secara besar besaran.

Setelah beberapa bulan, semua ahli pasukan saya dapat membiasakan diri dengan rutin baru, dan memudahkan kerja serta dapat berinteraksi dengan baik untuk menyelesaikan kerja-kerja yang sudah dirancang. Rutin “online” ini berterusan sehingga hari ini, dengan ahli pasukan mencapai kematangan dari segi penyampaian kerja dan menepati masa. Semuanya dapat dilakukan dengan baik dan penuh dedikasi. Hasilnya, produktiviti meningkat dan juga syarikat dapat meningkatkan hasil jualan yang amat baik sepanjang tahun 2020.

Antara kerja dan juga keluarga

Salah satu cabaran yang amat besar apabila bekerja dari rumah adalah kita juga perlu menjaga ahli keluarga di rumah. Saya mempunyai seorang anak kecil yang bersekolah tadika, dan juga seorang bayi yang baru lahir. Yang bersekolah, saya perlu juga membahagikan masa untuk pembelajarannya secara maya di atas talian yang memerlukan tumpuan dan dedikasi ibu bapa untuk memastikan pendidikan anak masih berjalan. Saya bernasib baik kerana mempunyai akses internet serta juga peralatan yang mencukupi untuk membolehkan proses pembelajaran maya ini berjalan dengan lancar. Namun begitu, saya dapati bahawa ianya tidak semudah yang disangka.

Dan memang sepatutnya kerjaya guru itu disanjung tinggi, kerana untuk mengajar insan lain supaya menjadi pandai dan berguna tidaklah semudah yang disangka. “Kesabaran” yang amat tinggi diperlukan. Apa yang guru anak saya beritahu, bahawa anak saya cepat hilang fokus, menyebabkan dia tidak mempunyai daya tumpuan yang lama untuk memahami dan mempelajari sesuatu perkara. Pada saat ini, saya amat menghargai kesabaran guru-guru anak saya. Saya dan isteri juga bekerja, dan amat perlu bagi kedua-duanya bekerjasama untuk membolehkan kerja dari rumah dapat dilakukan dan pada masa yang sama, tanggungjawab kepada keluarga masih tidak diabaikan.

2021 – Masih bekerja dari rumah?

Ketika saya menulis blog post ini, saya masih lagi bekerja dari rumah. Dengan keadaan pandemik yang tidak menentu dengan saban hari kes baru meningkat dan menurun, tidak hairanlah keadaan ini akan berterusan kepada satu jangka masa yang lama. Saya juga tidak menolak kemungkinan yang norma baharu ini akan diteruskan dan membolehkan pekerja dapat meluangkan masa untuk keluarga daripada masa terbuang di atas jalan raya kerana kesesakan jalan raya dan juga masa yang di ambil untuk pergi dan kembali dari tempat kerja. Hanya masa yang akan menentukan….

Published inPengalaman

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *