Dalam bahagian pertama karangan post blog ini, saya membincangkan tentang kaedah waterfall dalam pembinaan perisian atau produk kini tidak lagi relevan. Mari kita kupas sedikit sebanyak tentang kaedah “Scrum” dan juga bagaimana ianya bermula.
Ke arah “Agile”
Sebelum saya masuk ke dalam topik Scrum, ada baiknya kita membincangkan asas yang menyebabkan munculnya Scrum sebagai salah satu kaedah “Agile” yang popular kini. Semuanya bermula dari tahun 1986, apabila 2 pakar perniagaan dari Jepun memperkenalkan terma baru dalam konteks pembangunan produk. Di dalam artikel “New New Product Development Game“, Hirotaka Takeuchi dan Ikujiro Nonaka telah mengarang cara baru dalam pembangunan produk komersial di mana ianya dapat meningkatkan kepantasan(speed) dan juga kebolehlenturan (flexibility). Mereka berdua mendapat inspirasi setelah meneliti kajian dari pelbagai “case studies” dalam bidang pembuatan daripada firma automotif dan juga mesin pencetakan.
Secara asasnya, Scrum lahir dari industri pembuatan dalam tahun 1986 dan kemudiannya dikembangkan kepada industri pembangunan perisian sebagai salah satu kaedah “Agile” untuk memberikan alternatif kepada kaedah pengurusan projek berasaskan proses “Waterfall”.
Jeff Sutherland adalah orang pertama yang menggunakan Scrum dalam pembangunan projek pada tahun 1993. Proses Scrum ini kemudian telah dikembangkan sebagai proses formal pada tahun 1995 oleh Sutherland dan juga Ken Schwaber. Kemudian Sutherland, Schwaber bersama-sama dengan beberapa pelopor dalam pemikiran Agile telah berkumpul di sebuah resort ski di Utah untuk menilai persamaan dalam pelbagai kaedah Agile. Dari persetujuan bersama kumpulan ini maka lahirlah apa yang dikenali oleh kita sekarang sebagai “Agile Manifesto“.
“Scrum” secara ringkas
- Scrum adalah proses “Agile” yang membolehkan sesebuah organisasi menumpukan usaha untuk menghasilkan nilai bisnes yang tertinggi dalam jangka masa yang pendek.
- Scrum membolehkan kita memeriksa berulang kali secara cepat sesebuah perisian yang berfungsi (dalam jangka masa 2 minggu hingga ke 1 bulan)
- Bisnes akan menetapkan keutamaan apa yang perlu dibangunkan dahulu untuk sesebuah perisian. Kumpulan pembina akan mengurus dan menentukan sendiri cara yang terbaik untuk membina fungsi yang mempunyai keutamaan tertinggi.
- Setiap 2 minggu atau sebulan semua orang boleh melihat dan menggunkan perisian sebenar yang berfungsi dan akan menentukan sama ada perisian tersebut telah bersedia untuk dipasarkan atau menyambung pembinaan untuk satu ada beberapa lagi “Sprint”
Apakah “Scrum” itu dan apakah yang bukan “Scrum”?
- Pada sudut pandangan tinggi, “Scrum” adalah ringan dan mudah untuk difahami. Tetapi apabila kita mula mendalaminya, kita akan mendapati bahawa ianya sangat susah untuk dikuasai.
- “Scrum” adalah rangka kerja (framework) atau model, bukannya proses.
- “Scrum” tidak menyatakan bagaimana sesuatu kerja dibuat, tetapi ia menyatakan apa yang perlu dibuat dan menyerahkannya kepada kita untuk memikirkan bagaimana cara utk melaksanakannya.
- “Scrum” tidak perlu diambil secara bulat-bulat (literal), tetapi perlu diubah suai berdasarkan keadaan yang ada.
- “Scrum” adalah rangka kerja yang seimbang, oleh itu semua bahagian diperlukan supaya ianya efektif.
Ciri-ciri “Scrum”
- Kumpulan yang mengamalkan Pengaturan sendiri (self-organizing)
- Kemajuan pembinaan produk adalah di dalam beberapa siri “Sprint”
- Keperluan sistem ditulis dan disenaraikan dalam senarai “Product backlog”
- Tidak menetapkan penggunaan kaedah kejuruteraan yang spesifik.
- Untuk membina persekitaran “Agile” untuk membina dan menghantar projek, peraturan penjanaan (generative rules) digunakan.
- Salah satu daripada proses “Agile”.
Nilai “Scrum”
- Fokus
- Kerana kami fokus untuk hanya beberapa benda pada satu masa, kami bekerja lebih baik bersama dan menghasilkan kerja yang berkualiti serta lebih pantas.
- Keberanian
- Kerana kami bekerja sebagai sebuah kumpulan, kami disokong dan ada lebih banyak sumber untuk digunakan. Hal ini memberikan kami keberanian untuk menghadapi cabaran yang lebih besar.
- Terbuka
- Kerana kami bekerja bersama, kami menyatakan dengan jelas tanpa sembunyi apa yang kami rasa dan menghalang kami supaya kebimbangan kami ini dapat diatasi bersama.
- Komitmen
- Kerana kami dapat mengawal halatuju kami sendiri, kami berasa lebih komited untuk berjaya.
- Hormat
- Kerana kami bekerja bersama, berkongsi kejayaan dan kegagalan, kami lebih menghormati antara satu sama lain dan tolong menolong mereka yang layak dihormati.
Bersambung ke bahagian 3
Dalam bahagian 3, saya akan jelaskan ciri-ciri Scrum dengan lebih terperinci dan mendalam. Ini termasuklah pelbagai istilah yang saya perkenalkan dalam bahagian 2 ini seperti “Sprint” dan “Product Backlog”. Semoga bermanfaat.
Be First to Comment