Skip to content

10 Kerenah pengguna IT dari perspektif seorang pengaturcara komputer

Jika kita merujuk kepada Kamus Dewan (DBP) perkataan “kerenah” ini bermaksud:

[ke.ré.nah] | کرينه

Definisi : (kerénah) ragam, tingkah laku, ke­mahuan: banyak benar ~nya budak ini; ~ birokrasi proses atau urusan kerja, terutama­nya yg melibatkan pihak kerajaan atau agensi kerajaan, yg mengambil masa yg sangat lama kerana terpaksa melalui berbagai-bagai for­maliti, peringkat, peraturan dsb sebelum sesuatu permohonan atau perkara dapat di­luluskan atau dilaksanakan. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Tak dapat dinafikan apabila sahaja kita berurusan dengan manusia, pasti ada sahaja kerenah yang dipamerkan, tidak kira lah sama ada manusia itu anak kita, isteri kita, adik-beradik kita, ibu bapa kita sehinggalah kepada rakan sekerja dan juga pelanggan. Selama saya menjadi seorang programmer, terlalu banyak kerenah dari pengguna IT yang saya temui dan adakalanya sehingga tidak masuk akal. Berikut adalah 10 kerenah pengguna IT dari persepektif seorang programmer. (Tidak mengikut turutan).

10: Permintaan keperluan dan keupayaan sistem yang tak masuk akal

Sering kali bila sistem baru hendak dibina, saya berhadapan dengan permintaan yang luar biasa.

“Saya mahu laman web ni load, lepas tu ada bintang keluar dari sudut kanan dengan mesej iklan kelip-kelip serta ada video dari saya menari”

“Saya nak data yang keluar tu boleh save kat PDF, export ke excel, automatic sort dalam word dan juga saya boleh share kat fb dgn insta”

“Kalau boleh buatkan feed utk page ni supaya paparkan gambar kucing je dari seluruh Internet, boleh?”

Saya sedar, ramai pengguna yang mahukan bulan dan bintang untuk sistem mereka. Tetapi biarlah berpijak di bumi yang nyata. Bila dijelaskan, ada juga yang masih tidak mahu memahami dan berpendapat programmer hanya mencari alasan sahaja T_T

9: Enggan memberi spesifikasi dan keperluan sistem yang mahu dibina

Ini adalah antara cabaran yang perlu saya hadapi dalam membina sistem. Saya tidak pasti, adakah mereka faham bahawa pembina sistem tidak boleh membina sistem jika tiada spesifikasi dan keperluan sistem diberikan kepada mereka. Hal ini boleh diibaratkan seperti membina bangunan tetapi tidak memberitahu arkitek spesifiasi bangunan yang ingin dibina dan apa tujuan bangunan tersebut.

Paling memeningkan apabila mereka seolah-olah mengharapkan para pembina sistem dapat membaca minda mereka untuk membina sistem yang mereka mahukan. Kami para programmer hanyalah manusia biasa, bukan Harry Potter atau Jedi.

8: Keperluan sistem yang terlampau kompleks

Apakah susun atur logik bagi proses pendaftaran pengguna baru bagi sesebuah sistem? Para pengguna IT tidak mungkin akan memberikan carta flowchart yang cantik untuk rujukan para pembina sistem. Mereka akan menceritakan keperluan apa yang perlu dipenuhi untuk soalan di atas. Malangnya, proses yang tampak mudah kadangkala menjadi rumit dan kompleks tanpa ada keperluan yang penting.

Sebagai contoh, untuk mendaftarkan pengguna baru, pengguna hendaklah memasukkan pelbagai maklumat yang tidak penting dan meletakkan hukum mandatori kepada maklumat yang tidak perlu untuk proses pendaftaran contohnya nama penuh, nama bapa, nama mak.

Cukuplah sekadar mendaftarkan nama pengguna yang unik seperti alamat email atau no telefon dan kata laluan, dan maklumat-maklumat lain yang kurang kritikal boleh dikemaskini kemudian oleh pengguna.

7: Lain diminta, lain pula yang diberikannya

Apa perasaan anda apabila anda meminta buah epal tapi yang diberi buah oren? Geram? Marah? Bengang?

Hakikatnya, mungkin para pengguna tidak biasa dengan istilah komputer yang para pembina sistem biasa gunakan. Istilah seperti frontend, backend, API dan sebagainya sememangnya agak asing untuk didengar bagi pengguna IT biasa.

Sepanjang pengalaman saya, masalah ini mungkin berpunca dari kurangnya pemahaman pengguna IT tersebut terhadap sesebuah sistem yang ingin dibina. Di sini terletaknya fungsi sebagai pakar IT untuk memberi pemahaman tersebut sekaligus membolehkan mereka mendapatkan apa yang di ingini dari pengguna IT biasa.

Tetapi, ada juga pengguna yang setelah diberi penerangan yang panjang dan penuh hikmah, tetap tidak memahami apa yang diperlukan/diminta oleh pembina sistem. Perkara-perkara seperti ini lah boleh meningkat stress para pembina sistem T_T

6: Programmer = pembaiki komputer, tukang buat laman web, pandai buat computer game, penggodam komputer

Tanggapan bahawa sekiranya anda belajar atau pandai dalam menggunakan komputer, automatik anda dianggap pakar komputer serba serbi tahu. Saya sering mendapat tanggapan ini walaupun saya hanya seorang pembina sistem, kebanyakannya beranggapan saya berupaya membaik pulih komputer, membina laman web dengan mudah dan juga boleh membina permainan komputer. Tak kurang juga yang meminta saya untuk menggodam website, akaun media sosial dan sebagainya, hahahaha.

Ketahuilah bahawa dalam bidang IT juga ada pengkhususan seperti mana dalam bidang kejuruteraan. Ada jurutera elektrik, jurutera awam, jurutera mesin dan sebagainya. Programmer tak semestinya perlu menjadi super engineer yang berkebolehan serba serbi.

Hatta, doktor pun ada macam-macam doktor, doktor sakit puan, doktor sakit tuan, doktor jantung dan sebagainya. Tetapi, tanggapan ini agak sukar dihakis kerana norma masyarakat kita yang memandang pekerjaan dalam bidang IT ini dalam skop yang agak terhad. Mahu tidak mahu, kita buat sajalah apa yang termampu.

5: Permintaan dapat dipenuhi sekelip mata

Berikut adalah senario biasa yang saya hadapi dalam pekerjaan saya:

Bos: Khaliq, semalam client ada minta program changes, hari ni boleh siap?

Saya: Terkedu sebentar Saya baru dapat support ticket tu pagi ni, saya kena analisa dulu bahagian mana yang dia minta utk tukar tu bos, Baru saya tahu bila boleh siap.

Bos: Saya dah janji dengan client saya untuk siapkan hari ni. Saya nak hari ni juga awak siapkan. Bangun dan berlalu pergi

Change request atau permintaan untuk penukaran sesuatu ke atas sistem yang telah siap adalah lumrah bagi setiap perisian yang di bangunkan secara in house. Setiap permintaan ni biasanya agak spesifik, ada yang mudah, seperti hanya perlu menukar nama label di dalam website, sehinggalah kepada yang kompleks seperti menukar cara turutan pengiraan di bahagian backend sesuatu sistem.

Tanggapan yang kerja IT ini mudah seperti seorang kerani menaip surat dalam MS Word menyebabkan adanya bos-bos yang bukan dari latar belakang IT mengambil mudah kesemua proses analisis dan persediaan yang diperlukan dengan menjanjikan kepada client sesuatu itu dapat dibuat dalam masa yang sangat singkat.

Maka terjadilah senario “Kau yang janji, aku yang sengsara”.

4: Kerja programmer ni bukan taip-taip mcm Microsoft Word tu je ke?

Bab yang ini memang selalu saya dapat.Saya faham yang kerja kami kebanyakannya hanya kelihatan duduk di depan PC dan menaip. Kelihatan seperti seorang jurutaip yang pantas menekan papan kekunci, tapi pada hakikatnya ianya lebih dari itu.

Cuma apa yang kami minta hormati profession kami walaupun hanya kelihatan duduk selesa di depan komputer, pada hakikatnya seluruh kekuatan mental digunakan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh para pengguna sistem secara amnya.

3: Sendiri minta, sendiri lupa

Kes sebegini agak jarang berlaku, tapi bila ianya berlaku, saya rasa seperti di aniaya. Kerap kali ianya terjadi apabila pengguna tidak follow up dengan change request yang dipinta. Maka ianya tergantung sahaja di dalam inbox manager saya.

Akibatnya, request tersebut sampai lambat ke tangan saya, dan apabila ditanya pada pengguna yang memintanya, mereka lupa yang mereka ada menghantar request tersebut. Sudah la terlupa, masalah tersebut diselesaikan dengan menggunakan workaround yg sangat sloppy dan agak berbahaya dari segi integriti data dan juga sistem.

2: Menganggap perisian yang dibina akan berevolusi mengikut mood pengguna

Fasa pembangunan sistem telah tamat. sesi pengujian sistem telah dijalankan dan mereka berpuas hati dengan sistem yang telah dibina dan telah pun sign off sistem tersebut untuk digunakan. Maka bisnes berjalan seperti biasa.

Namun begitu setelah beberapa bulan, mereka kembali kepada saya dengan masalah-masalah yang pelik dan tidak sepatutnya berlaku, sekiranya sistem digunakan seperti yang dipersetujui ketika fasa analisis dan juga fasa pembangunan sistem. Setelah saya selidiki masalah tersebut, rupa-rupanya ianya berpunca dengan pengguna sistem yang mengubah cara kerja mereka dan menyebabkan sistem yang dibina tidak lagi relevan dengan cara kerja baru mereka.

Soalan pertama yang saya dapat dari pengguna adalah; “Kenapa sistem tidak berubah mengikut cara kerja kami? Kenapa sistem tidak berevolusi?”

Saya tak pasti itu adalah soalan perangkap, atau pengguna tersebut memang tersangatlah jahil tentang sistem komputer secara amnya.

Mungkin mereka beranggapan bahawa sistem yang saya bina sangatlah pintar, ianya boleh berubah mengikut apa yang pengguna fikirkan dan juga mengikut mood kerja mereka >_<

1: Memarahi programmer bila ada kesilapan yang berpunca dari pengguna sendiri

Apa perasaan anda apabila dipersalahkan apabila sesuatu incident itu berlaku atas kesilapan pengguna sendiri? Ini hakikat kerja bagi kami sebagai seorang programmer. Manager saya dahulu pernah berkata pada saya, kerja “programmer ni are the lowest bottom of the foodchain” di mana semua kesalahan atau ralat akan dipertanggungjawabkan kepada programmer.

Sebab itu kami cuba sedaya upaya untuk mencipta sistem yang membolehkan kesalahan-kesalahan dari pengguna dapat ditangkap, sebelum ianya masuk ke dalam sistem. Tetapi apakan daya, kami juga manusia biasa, ada juga yang terlepas dari jangkauan kami juga.

Maka inilah yang selalu menghantui kami kembali apabila pengguna sama ada sengaja atau tidak sengaja memasukkan data yang salah dan sistem tidak menangkap kesalahan tersebut sebelum ianya memasuki pangkalan data dan menjadikannya lebih teruk.

Paling dikesalkan, daripada memohon maaf dan meminta kesalahan itu diperbetulkan secara baik, kami pula dipersalahkan. Sistem tidak cukup pintarlah, sistem buruklah, sistem yang salah, kami buat semua betul lah.

Istilah “Garbage in, garbage out” seolah olah tidak terpakai kepada pengguna seperti ini. Malah mereka berterusan menafikan kesalahan yang telah dibuat dan membuang masa kami untuk menjejak punca kesalahan sistem, walhal ianya dapat diselesaikan dengan cepat dan mudah sekiranya pengguna mengakui kesilapan mereka.

“When people go low, we go high”

Setiap profession dalam pekerjaan ada cabaran tersendiri. Yang penting, sikap dan professionalisma yang tinggi perlulah diamalkan setiap masa. Tiada masalah yang tiada penyelesaian, dan kami sebagai pengaturcara professional sentiasa akan cuba membantu dalam menyelesaikan segala permasalahan sistem komputer dan memudahkan kerja-kerja harian para pengguna IT.

Published inPengalaman

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *