Setelah hampir dua tahun, pandemik covid-19 menyerang seluruh dunia. Kebanyakan aktiviti yang normal dan biasa kita lakukan seperti pergi ke pejabat, sekolah, kuliah, pusat beli belah, bercuti di dalam dan luar negara dan sebagainya telah terbatas. Dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan dan juga keperluan seperti untuk meneruskan kehidupan, kebanyakan dari kita dalam dilema. Antara kesihatan atau keperluan untuk menyara kehidupan, antara kesihatan atau keperluan untuk menyambung pengajian di universiti dan banyak lagi.
Apa yang kita dapat belajar setelah hampir setahun dalam Perintah Kawalan Pergerakan?
Umum mengetahui, apabila pandemik Covid-19 ini melanda, kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pada awalnya, PKP ini amatlah ketat, dan kerana virus Covid-19 ini masih baru dan rakyat Malaysia memang mematuhi perintah ini untuk sama-sama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Tetapi pada awal bulan Ogos 2020, negara kita mula mengalami pengurangan kes dan PKP ini mula dilonggarkan untuk membolehkan rakyat Malaysia kembali bekerja, ke sekolah, ke universiti seperti biasa.
Pada hemat saya, sepanjang tempoh PKP ini, saya mempelajari apa yang diperlukan sekiranya PKP ini kembali di masa akan datang. Kadar kesiap siagaan kepada PKP sekiranya dikuatkuasakan semula lebih baik dari sebelumnya. Hal ini kerana pengalaman telah mengajar kita, dan penting bagi kita belajar dari pengalaman ini untuk mempersiapkan diri di masa akan datang. Sebagai contoh, saya belajar untuk membuat persiapan dengan membeli barang keperluan rumah secara ala kadar berbanding dengan pembelian secara panik sebelumnya. Saya juga belajar bagaimana untuk membolehkan talian Internet rumah lebih stabil untuk kerja dari rumah (Work from home) atau pembelajaran atas talian untuk anak.
Perlukah kita masih mengeluh dan hanya berdiam diri?
Dalam keadaan serba mencabar kini, kita tidak lagi boleh mengeluh akan nasib diri dan hanya berdiam diri tidak melakukan apa-apa. Dengan hanya mengeluh dan menyalahkan pihak lain (salah kerajaan buat PKP! salah telco Internet tak stabil! salah sana! salah sini!) ada baiknya jika kita cuba melakukan sesuatu dalam bidang kuasa kita selagi termampu.
“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Hendak seribu daya, Tak hendak seribu dalih”
Peribahasa Melayu
Keadaan pandemik ini telah memacu pembangunan digitalisasi. Para peniaga yang mahu kekal relevan dan juga ingin terus berniaga perlu mencari jalan dalam usaha untuk memasarkan produk dan juga memperolehi jualan yang stabil. Di sini lah kepentingan e-Commerce muncul, dengan platform jualan dalam talian seperti Lazada dan Shopee mula mendapat tempat dalam masyarakat Malaysia, dimana peniaga boleh meletakkan barang jualan mereka, dan pembeli boleh melihat dan memilih barangan hanya dengan menggunakan telefon pintar atau laman web.
Perkembangan ini juga menyaksikan kenaikan permintaan untuk servis penghantaran barang. Pemain-pemain industri yang peka dengan perkembangan ini telah segera menyesuaikan perkhidmatan mereka, dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan penghantaran dan tak kurang juga menawarkan cara pembayaran secara digital.
“One door closed, the other door open”
Setelah 2 tahun pandemik melanda dunia, saya rasa kita sudah punya cukup masa untuk menyesuaikan diri dengan norma baru. Walaupun tidak lagi sebebas dahulu (tak pakai face mask bila keluar di tempat awam, nikmat yang kita selalu lupa) tetapi ia mengingatkan kita bahawa nikmat yang Allah beri ini boleh ditarik kembali sekelip mata.
Saya tertarik dengan kisah-kisah “survival” anak-anak muda kita, yang kehilangan pekerjaan ketika PKP dahulu, sekarang mampu bangkit dan terus berusaha untuk meneruskan kehidupan. Apa yang saya perhatikan, sekiranya kita tidak berputus asa, sudah pasti ada jalan untuk kita terus hidup. Allah sentiasa bersama dengan hamba-hambanya yang bersabar.
Saya juga seperti itu di pertengahan tahun 2021, apabila saya menerima tawaran pekerjaan tetap di kala pandemik melanda. Kebimbangan kerana saya bekerja kontrak yang diperbaharui setiap 3 bulan, akhirnya tamat. Mungkin juga rezeki anak yang lahir di waktu PKP 🙂
Be First to Comment