Skip to content

Meneliti Gajet – Logitech K480 Bluetooth keyboard

Untuk merasmikan segmen Meneliti Gajet, saya akan mulakan dengan aksesori yang mungkin penting, terutamanya kepada para pengguna komputer yang merupakan pencipta kandungan, sama ada untuk blog, artikel dan juga menulis karya seperti novel. Justeru itu, keyboard atau dalam terjemahan bahasa melayu – papan kekunci merupakan salah satu aksesori terpenting bagi golongan penulis ini.

Untuk saya yang merupakan seorang programmer, papan kekunci yang baik dapat membantu flow dalam menulis syntax yang diingini tanpa sebarang gangguan. Ia mungkin perkara yang dianggap kecil bagi pengguna kasual, tetapi sebagai seorang yang bekerja dan menggunakan papan kekunci hampir 8 jam setiap hari, papan kekunci yang baik adalah menjadi kemestian bagi saya.

Pengenalan Gajet

Logitech adalah jenama yang tidak asing lagi bagi mengeluarkan aksesori papan kekunci dan tetikus yang berkualiti. Logitech K480 adalah pembaharuan kepada Logitech K380, dengan ciri-ciri yang lebih baik dan mampu menyokong sambungan 3 gajet melalui bluetooth. Berikut adalah ciri-ciri utama Logitech K480.

sumber: Logitech website

Type-on anything universal keyboard

Dengan kemajuan teknologi tanpa wayar (wireless), antaramuka Bluetooth sudah mencapai kematangan dengan versi Bluetooth 3.1 di mana tenaga yang diperlukan untuk beroperasi amat rendah dan juga capaian yang pantas dan sesuai untuk penggunaan peranti tanpa wayar yang tidak memerlukan banyak tenaga dan juga capaian data yang pantas.

Kebanyakan gajet moden sudah dilengkapi dengan teknologi Bluetooth dan mudah digunakan. Logitech K480 mengambil kesempatan ini dengan membenarkan capaian 3 gajet serentak kepada mana-mana gajet yang mempunyai keupayaan Bluetooth.

mhmmm, segar baru dibuka dari kotak.

Penukaran sambungan antara gajet yang mudah

Untuk menukar sambungan di antara gajet yang bersambung melalui Bluetooth, apa yang pengguna hanya perlu buat ialah dengan memutar Easy-Switch dial ke sambungan gajet yang diingini. Ini membolehkan sambungan kepada 3 gajet serentak adalah mudah dan tidak perlu di set semula setiap kali ingin menukar kepada gajet lain melalui Bluetooth. Ciri ini amat berguna sekiranya anda adalah seorang multi-tasker yang menggunakan banyak gajet dan memudahkan kerja-kerja anda.

Sokongan untuk pelbagai Sistem Operasi

Sama ada anda seorang pengguna Microsoft Windows, Google Android dan mahu pun Apple iOS, papan kekunci Logitech 480 menyokong kesemua sistem operasi ini. Tiada lagi masalah untuk menggunakan satu keyboard untuk semua gajet-gajet anda yang berlainan sistem operasi.

bila anda ada banyak gajet…

Menaip dengan lebih selesa

Papan kekunci ini juga dilengkapi dengan ruangan (cradle) untuk meletakkan gajet anda diatasnya dan boleh memuatkan tablet yang bersaiz sehingga 10 inci. Kalau diletak secara menegak, 3 telefon pintar bersaiz 5 inci boleh diletakkan sebelah menyebelah. Ciri ini membolehkan pengguna menggunakan papan kekunci ini diatas riba dan menaip menggunakan gajet kegemaran mereka.

Ulasan Gajet

Untuk memudahkan ulasan, saya akan pecahkan ulasan saya kepada beberapa aspek:

  • Kualiti binaan
  • Keselesaan menaip
  • Kemudahan penggunaan

Kualiti binaan

Papan kekunci Logitech 480 dibuat dengan menggunakan plastik ABS yang tahan lasak dan bersama juga kemasan getah di cradle gajet untuk memberi cengkaman yang diperlukan supaya gajet anda tidak mudah jatuh. Tapak papan kekunci ini juga disertakan dengan kemasan getah supaya ianya tidak mudah bergerak apabila anda menaip.

memuatkan tablet saya yang berukuran 8 inci dengan mudah

Jarak maksimum antara gajet anda dengan papan kekunci ini sebelum sambungan Bluetooth terputus adalah dalam jarak 10 meter. Amat berguna sekiranya anda menggunakan papan kekunci ini untuk menaip menggunakan Smart TV atau konsol permainan yang dilengkapi sambungan Bluetooth seperti PS4. Dari segi penggunaan kuasa, papan kekunci ini sangat jimat tenaga. Dengan hanya memerlukan sebiji bateri bersaiz AA dan mengikut spesifikasi yang diberikan Logitech, jangka hayat bateri dalam gajet ini boleh bertahan sehingga 2 tahun.

hanya sebiji bateri AA diperlukan

Keselesaan menaip

Susun atur kekunci untuk papan kekunci Logitech K480 ini adalah mirip kepada susun atur kekunci untuk komputer riba yang bersaiz 13 inci. Tiada kekunci numpad seperti mana papan kekunci bersaiz penuh. Saya menggunakan Logitech K480 untuk menulis ulasan ini. Pada pendapat saya, kekuncinya agak lembut untuk ditekan, dan rasanya seperti menekan “span” lembut apabila menaip. Ini menjadikan papan kekunci ini senyap apabila ditekan tetapi agak kurang dari segi rasa “keteguhan” bila kekunci ditekan. Terpulang kepada anda, jika anda sukakan kekunci yang lebih “keras” dan “teguh” seperti papan kekunci mekanikal, mungkin Logitech K480 tidak sesuai untuk anda.

tiada “numpad” di sini

Kemudahan penggunaan

Untuk menggunakan papan kekunci ini, pertama sekali ianya mestilah disambungkan (Pairing) dengan gajet yang anda ingini melalui sambungan Bluetooth. Logitech K480 memudahkan anda menyambung hubungan Bluetooth dengan gajet kegemearan anda dengan hanya satu butang.Cuma tekan butang yang berkenaan sesuai dengan sistem operasi gajet anda dan ianya akan terus disambungkan.

arahan untuk proses “pairing” disertakan di atas papan kekunci

Dengan adanya Easy-switch dial, ianya amat mudah untuk menukar sambungan di antara gajet, dengan hanya perlu memutarkan ke arah nombor yang telah ditetapkan mengikut turutan. Papan kekunci ini turut menawarkan fungsi seperti butang pintasan untuk mengawal media, seperti video dan lagu, butang Home untuk pelayar internet dan juga butang screenshotuntuk anda mengambil imej yang sedang dipaparkan di skrin.

Kesimpulan

Logitech K480 adalah penyelesaian kepada anda yang mempunyai pelbagai gajet dan komputer untuk membolehkan satu papan kekunci digunakan sehingga ke 3 gajet secara serentak. Bagi saya, papan kekunci ini membolehkan saya menyambung tablet, telefon pintar dan PC yang saya gunakan dalam satu sambungan secara wireless. Namun begitu, kedudukan kekunci yang tidak sama seperti papan kekunci bersaiz besar, mungkin agak janggal bagi sesetengah pengguna yang gemarkan papan kekunci yang lebih besar, dan juga kekunci yang lebih keras dari kekunci lembut seperti Logitech K480.

ke arah dunia multi-gajet ^^

Anda boleh mendapatkan papan kekunci ini di kebanyakan kedai komputer dan juga kedai online seperti Lazada dan Shopee. Harga yang dicadangkan adalah sekitar RM179, tetapi anda boleh mencari harga yang lebih rendah sekarang kerana papan kekunci ini sudah agak lama dalam pasaran.

Published inMeneliti Gajet

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *