Skip to content

5 sebab kenapa saya suka sains komputer

Baru-baru ini saya terbaca coretan seorang brader yang bertajuk “10 sebab kenapa aku menyesal belajar sains komputer”. Sebagai seorang programmer/team leader/scrum master di dalam industri IT di Malaysia, saya terpanggil untuk membalas penulisan artikel berkenaan. Bagi saya, ia bukanlah 10 sebab, tetapi 10 alasan kenapa dia berhenti kerja dari menjadi seorang programmer.

Saya meminati komputer sejak kecil lagi. Masih jelas di ingatan saya apabila abah pulang ke rumah dengan membawa pulang sebuah komputer, yang dikenali sebagai Apple Macintosh Classic (lihat gambar atau pergi ke British Museum utk tgk komputer ni hahaha). Bagi saya yg ketika itu berusia 6 tahun, ia adalah sebuah mesin yang menakjubkan. Dengan paparan skrin monochrome dan Abah pula boleh menaip dan menulis seperti beliau biasa lakukan dengan mesin taip ketika itu. Maka bertubi-tubilah soalan saya tanyakan kepada Abah saya tentang komputer hehehe.

Ketika saya di darjah dua, sekolah saya dilengkapkan dengan makmal komputer. Sungguh pun mempunyai makmal komputer, tidak banyak guru yang mahu menggunakan makmal tersebut. Saya tertanya-tanya mengapa. Saya memberanikan diri dan datang ke makmal tersebut. Saya tidak ingat nama guru yg berada disitu tetapi dia menyambut saya dan mengajarkan saya bagaimana saya boleh menggunakan komputer tersebut. Komputer di makmal itu adalah IBM PC,dengan sistem operasi MS Windows 3.1. Utk menggunakannya, pengguna perlu menaip arahan (command) di dalam tetingkap MS-DOS dan juga memasukkan disket ke dalam pemacu mengikut turutan. Saya dapat memahirkan diri dengan pantas dan boleh menggunakan komputer tersebut.

Kagum dengan keupayaan komputer, saya meneruskan minat saya dengan membaca bahan-bahan berkenaan komputer, dan dari situ saya memahirkan diri dengan bahasa inggeris (kerana semua bahan ketika itu banyak berbahasa inggeris) dan abah saya memberi sokongan dengan membelikan apa sahaja buku, majalah yg berkaitan dengan komputer. Saya berupaya memasang PC sendiri ketika berumur 14 tahun dan mencuba untuk belajar programming mudah seperti HTML.

Saya teruskan minat ini hingga ke menara gading dan belajar tentang sains komputer dari peringkat diploma, sarjana muda dan seterusnya ke peringkat sarjana. Sepanjang pengajian, saya dilatih bukan sahaja untuk menjadi programmer, tetapi untuk menjadi problem solver dan researcher, supaya saya sentiasa peka dengan perkembangan bidang sains komputer.

Setelah penuh ilmu di dada, saya masuk ke dalam industri sebagai seorang junior programmer. Sama la juga semangat mcm brader tu nak jadi mcm bill gates bagai. Cabaran di alam pekerjaan dengan berbeza, tetapi sudah menjadi lumrah, tiada pekerjaan yang mudah, hatta untuk makan pun kita kena berusaha untuk menyuap makanan ke mulut dan mengunyahnya. Setelah 7 tahun di dalam industri, saya kini memegang jawatan Senior Software Engineer untuk jabatan IT di sebuah firma multinasional. Bekerja dengan orang luar bukan sahaja di malaysia membuka mata saya tentang industri IT dengan lebih luas lagi. Berikut adalah mengapa saya masih mencintai bidang ini setalah sekian lama:

1) Cabaran menangani kerenah client (client from hell)

Dilbert: The Client

Sukar untuk kita melakukan perniagaan tanpa pelanggan. Hakikatnya, pelanggan atau client diperlukan untuk setiap perniagaan itu untuk berkembang. Bagi saya, mereka datang dengan seribu satu soalan, dan mereka sendiri tidak pasti dengan apa yang mereka mahukan. Dari situlah bermulanya masalah kerenah client ini timbul. Mereka mungkin ada bayangan tersendiri terhadap apa yang mereka mahukan terhadap sesuatu software/website/application. Hakikatnya, mereka mengharapkan satu sahaja kepada kita, untuk membantu mereka menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Sebagai contoh, saya ada seorang client yang mempunyai masalah data entry kerana data yang telah diambil dari dalam excel file perlu ditaip semula ke dalam sistem kerana sistem yg sedia ada tidak menyediakan data conversion atau data import. Utk itu, client saya telah menggaji beberapa orang utk melakukan kerja data entry yg begitu banyak. Dan sebagai manusia, tidak terlepas dari melakukan kesilapan, dan data tidak menjadi konsisten dan salah. Data yang salah ini akan menyebabkan analisis tidak betul dan boleh menjejaskan pendapatan client terbabit.

Seperti biasa, mereka mahukan saya untuk membina sebuah sistem yang lebih baik, tetapi mereka sendiri tidak pasti apakah sistem yg lebih baik itu. Maka timbullah pelbagai permintaan tak masuk akal, seperti memasukkan data dengan hanya menggunakan niat di hati sahaja hahaha.

Di sinilah tugas saya sebagai “Problem Solver” yang terlatih dan professional untuk membimbing client tersebut. Dengan mengenalpasti “Pain points” yang dihadapi client ini, saya memberikan beberapa cadangan untuk penambahbaikan sistem, dan menjelaskan segala permintaan yg diminta adakah ianya reasonable atau tidak.

Tetapi dengan menggunakan kaedah pembangunan perisian (software development) secara tradisional, untuk mendapatkan final specification document dari client memang payah. Kerana itu, saya beralih ke kaedah pembangunan perisian yang baru, dikenali sebagai Scrum yang membolehkan client sentiasa mengambil bahagian secara aktif sepanjang proses pembinaan perisian. Selain itu, development team boleh mendapat feedback secara terus dan pembinaan sistem dilakukan secara berperingkat dengan setiap peringkat dapat dilihat hasilnya oleh client sendiri.

2) Membina reputasi sebagai seorang programmer berwibawa


Photo by Charles Deluvio 🇵🇭🇨🇦 / Unsplash
Antara cabaran programmer yg baru masuk ke industri ialah gaji yang kecil. Biasanya syarikat-syarikat kecil hanya mampu membayar secara purata RM1800 ke RM2500 utk junior programmer yang baru keluar dari universiti. Kerja memang banyaklah, selain menghadap dokumen-dokumen speifikasi dan juga memikirkan coding yang perlu dibuat utk sistem, memang terbawa-bawa sehingga dalam tidur!

Tetapi jika dilihat dari sudut lain, majikan tiada cara lain untuk melihat keupayaan pengaturcaraan kita selain dari test semasa interview yang adakalanya memang agak sukar. Kerana kita berjaya memberi jawapan yg memuaskan, majikan mengambil keputusan untuk memberi kita peluang membuktikan keupayaan kita sebagai seorang programmer.

Saya ambil ia sebagai sesuatu yg positif,sebagai tapak permulaan untuk saya menimba ilmu dalam industri. Setelah saya mahir dan membina sebuah sistem dengan baik, terpulang kepada kita untuk pergi mencari cabaran baru di luar sana. Industri IT sangat kompetitif, di mana seorang programmer yang baik amat sukar utk ditemui. Ada majikan yang sanggup membayar gaji yang tinggi utk programmer yg mahir dan berpengalaman.

3) Work life balance / waktu kerja

Kebanyakan syarikat IT memberikan waktu kerja fleksibel kepada programmer, kerana programmer biasanya ada masa mereka sendiri untuk menjadi produktif. Mungkin saya antara yang bernasib baik kerana mendapat tempat kerja yang menawarkan waktu kerja fleksibel untuk para programmer.

Sekiranya kerja-kerja system development dapat disiapkan mengikut jadual, tiada isu overtime atau balik lewat. Tetapi isu ini akan timbul sekiranya kerja tertangguh atas sebab-sebab tertentu (masalah teknikal, client request, etc) maka biasanya manager akan meminta kita kerja lebih masa untuk mengejar “dateline”.

Rata-rata yang di dalam industri pasti ada pengalaman dgn tradisi waktu kerja tak menentu ini. Saya anggap ia adalah satu tradisi yang patut diubah supaya waktu kerja yang lebih seimbang dan projek dapat disiapkan mengikut jadual.

4) Komuniti programmer yang besar dan sangat membantu


Photo by John Schnobrich / Unsplash
Mungkin ada yang beranggapan bahawa mereka yang bekerja dengan komputer umumnya adalah seorang nerd atau introvert yang sukar bersosial dan kerap bersendirian. Ternyata ini adalah tidak benar. Komuniti programmer di seluruh dunia bergabung melalui Internet, dan mereka banyak menghasilkan kerja-kerja yang kita kenali sebagai Open Source Software.

Dengan adanya kepakaran dari pelbagai latar belakang dari segenap sudut dunia, mereka bersatu melalui perantaraan Internet untuk membina perisian yang bukan sahaja boleh digunakan secara percuma, malah dapat dikembangkan dan diubahsuai oleh programmer tempatan untuk kesesuaian pengguna IT di Malaysia.

Internet board seperti Stack Overflow, membolehkan para programmer bertanya soalan berkaitan dengan permasalahan programming dan juga berbincang untuk mendapatkan solusi yang terbaik bersama-sama dengan komuniti programmer di seluruh dunia.

5) Membuka ruang lebih besar untuk menjana pendapatan melalui kerja-kerja freelance

Dengan keupayaan dan juga pengetahuan dalam beberapa programming language yang popular, saya dapat menawarkan kemahiran saya dalam membina aplikasi dan perisian kepada orang lain dan menjana pendapatan sampingan. Ini seterusnya dapat membantu syarikat-syarikat kecil dan sederhana, malah peniaga kecil yang mahukan perniagaan mereka dapat dilihat secara digital di dunia maya dapat direalisasikan.

Selain dari menjana pendapatan sampingan, saya juga dapat mempelajari dan memperkembangkan kemahiran yang sedia ada supaya sentiasa mengikut arus kemajuan teknologi IT yang berkembang dengan cepat dan pantas. Ini penting supaya saya kekal kompetitif dan dapat memanfaatkan teknologi baru dan sedia ada dalam menyediakan penyelesaian masalah secara digital.

Kesimpulan

Bidang Sains Komputer jika diceburi berserta dengan minat akan menjadi bidang yang sangat menarik dan penuh dengan cabaran. Dengan kepesatan pembangunan teknologi IT, pakar-pakar IT kini seolah-olah mempunyai kuasa adiwira untuk membina sistem yang memudahkan manusia dan juga membolehkan sesuatu urusan itu dilakukan dengan cepat dan pantas. Bidang ini juga menawarkan pulangan yang lumayan kepada mereka yang ingin menjadikannya sebagai mata pencarian.

Published inPengalaman

9 Comments

  1. tmeow25 tmeow25

    saya lepasan spm. rasa minat dengan koding tapi takut tak mampu bawa course sains komputer ni. lagi-lagi bila math saya b je. hmm, bi saya pun agak lemah iaitu b+ saja. admin rasa saya sesuai tak untuk course ni?

    • SPM saya Math pun dapat C dik, Add Math dapat E. Tapi sebab minat, benda yg susah jadi senang. Percayalah semua tu adik boleh perbaiki dgn usaha dan bantuan para pensyarah nanti yang penting minat tu ada. Sekarang demand tinggi untuk graduan lepasan Sains Komputer dan IT.

  2. Chocolate Chocolate

    Aslm bang, sy math spm dpt C je bi pon C tp sains -A boleh ke kalau nk ambik course sains komputer ni ? Lagi² mse sek dulu sy x ambil addmath n x tahu ape² lagi pasal komputer ni . Boleh bagi pendapat n tips ?

  3. Chocolate Chocolate

    Aslm bang, sy math spm dpt C je bi pon C tp sains -A boleh ke kalau nk ambik course sains komputer ni ? Lagi² mse sek dulu sy x ambil addmath n x tahu ape² lagi pasal komputer ni . Boleh bagi pendapat n tips ?

    • Waalaikumsalam dik, saya cadangkan adik ambil program asasi sains di mana-mana universiti awam. UiTM pun ada program asasi ni. Masa saya ambil diploma sains komputer, SPM math saya pun dapat C juga, add math dapat E hahaha. Yang penting adik ada minat. Good luck adik.

  4. Muhammad Akmal Fikri Bin Asma Zaki Muhammad Akmal Fikri Bin Asma Zaki

    Aslm. Saya nk tanya, kalau saya yg baru habis spm ni, better ambik diploma sains komputer atau matriks atau asasi. Sbb saya ada dgr yg kalau ambik diploma sains komputer ni lebih sng dapat kerja berbanding yg ambik matriks dan asasi and banyak pengalaman cause dua kali intern dkt diploma and ijazah. Mohon penjelasan 🙂

    • Kalau ambil diploma, asas lebih baik berbanding matriks dan asasi. Sebab asas sains komputer akan diajar dalam peringkat diploma, dan kalau nak sambung ijazah, boleh ambil pengecualian kredit.

      Kalau nak cari kerja, dengan diploma sahaja dah boleh, tapi tak digalakkan sebab graduan dengan ijazah sarjana muda pun ramai sekarang.

  5. zalea zalea

    saya dapat Diploma Sains Komputer Unisza. ada apa-apa nasihat tak untuk saya. kebolehpasaran macam mana ya

    • Untuk memulakan langkah ke dalam bidang IT/Sains Komputer, Diploma adalah pilihan yang baik. Dari segi kebolehpasaran, demand untuk pekerja sektor IT amat tinggi selepas pandemic sebab banyak syarikat menyedari kepentingan digitalisasi perniagaan mereka. Jangan berhenti pada diploma level sahaja, sambung sehingga peringkat tertinggi yang kita mampu. Insya-Allah, rezeki di bumi Allah luas 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *