Skip to content

Pentingnya penghargaan dan komunikasi yang baik

Semasa saya menulis blog post ini, tempat di mana saya bekerja sedang sibuk dengan persiapan untuk integrasi sistem SAP. Kesibukan yang bermula sejak sebulan lalu, kini sudah menampakkan tanda-tanda yang kurang baik kepada kesihatan saya. Mana tidaknya, kami terpaksa bekerja sehingga lewat malam, dan adakalanya sehingga mengorbankan waktu hujung minggu yang sepatutnya dihabiskan untuk beristirehat dan juga meluangkan masa dengan keluarga dan anak-anak.

Tetapi, sejauh manakah seseorang pekerja itu mampu pergi dan berkorban untuk syarikat tempat dia bekerja? Setinggi mana pun bayaran yang diberi, bagi saya, ianya tidak mampu membayar masa yang saya perlukan untuk saya beri kepada keluarga dan anak-anak. Namun, persoalannya, adakah majikan juga memahami situasi setiap pekerja? adakah para pengurus ini sedar bahawa dia sedang menguruskan sebuah pasukan yang dianggotai oleh manusia biasa?

Antara tanggungjawab dan juga perancangan pihak atasan

Saya sedar, sebagai seorang professional dalam bidang yang saya ceburi, adalah penting untuk saya terus berfikiran positif dan cuba yang terbaik untuk menyumbang sebagai salah seorang ahli pasukan professional yang sedang bertungkus lumus untuk persiapan sistem. Namun, saya terkilan apabila pengurus yang ditugaskan untuk mengurus projek IT bukanlah dari bidang IT, malah mereka tidak tahu apa yang diperlukan untuk menjayakan sebuah projek IT yang berskala besar.

Bila mana mereka merancang untuk sebuah projek IT, pendapat dari pasukan pembina sistem langsung tidak diambil peduli, malah meletakkan tarikh untuk sesuatu kerja disiapkan dengan sesuka hati tanpa mengira pelbagai faktor yang hanya pasukan pembina sistem yang memahami apa yang diperlukan untuk menyiapkan sesuatu tugas. Hal ini mencetuskan konflik bila mana sesuatu tugas tidak dapat diselesaikan pada tarikh yang diberi, dan pihak pengurusan hanya berpendapat bahawa pasukan pembina sistem membuat alasan dan malas bekerja.

Dengan kurangnya penghargaan, tiada komunikasi antara pengurusan dan pembina sistem, ini menjadikan kedua belah pihak menjadi tertekan, seterusnya boleh mempengaruhi segala keputusan dan juga sistem yang dibina akan kurang kualitinya dari biasa. Projek juga tidak dapat disiapkan pada masa yang telah ditetapkan.

Motivasi yang semakin surut

Jika dibiarkan berlarutan, pasukan pembina sistem akan kehilangan motivasi, dan ianya dapat dilihat pada kualiti sistem yang dihasilkan. Tiada lagi inovasi yang dapat dilihat untuk mempercepatkan sistem, tiada lagi inisiatif untuk membina sistem yang lebih baik. Malah, kerja mula dibuat secara acuh tak acuh, hanya kerana untuk memenuhi permintaan pihak atasan berdasarkan permintaaan.

Perlu diingat, bahawa pengaturcara (programmer), arkitek sistem (system architect), penguji sistem (system tester) adalah professional yang sememangnya pakar dalam bidang mereka. Jika diurus dengan baik, pasukan ini mampu membina apa sahaja sistem yang diingini, asalkan segala keperluan untuk membina sistem diurus dengan baik oleh pihak pengurusan. Tetapi, sejauh mana pihak pengurusan mempercayai kebolehan pasukan pembina sistem mereka?

Tiadanya kepercayaan kepada pakar-pakar ini dengan melakukan proses pengurusan mikro (micro-management) menghakis motivasi mereka dalam melakukan inovasi dan juga membina sistem yang berkualiti. Dengan mengurus secara mikro dari segala aspek dari penulisan emel kepada pelanggan hinggalah kepada cara penyusunan code untuk sesuatu aturcara adalah sangat tidak diperlukan, malah menghakis keyakinan diri seseorang professional tersebut.

Terasa tidak lagi dihargai

Dari aspek penghargaan pula, kepercayaan lama pihak pengurusan bahawa mereka sudah membayar gaji maka mereka tidak perlu lagi melakukan apa-apa kepada pasukan pembina sistem. Malah, mereka juga percaya, bahawa dengan hanya wang ringgit, contohnya memberi insentif pendek untuk menyiapkan sistem lebih awal dari jadual adalah cara yang tepat untuk mereka mendapatkan apa yang mereka mahu.

Cara pengurusan yang lapuk dengan menggunakan konsep carrot and stick ini tidak lagi berkesan di zaman teknologi maklumat yang serba canggih ini, bila mana para pekerja professional lebih berdaya saing dan kepakaran yang mereka miliki lebih pantas berkembang berbanding dahulu. Hal ini menjadikan mereka menjadi rebutan dari syarikat-syarikat lain yang mencari-cari kepakaran yang mereka ingini dalam merealisasikan matlamat mereka.

Akibatnya, pekerja professional ini akan mula melangkah keluar meninggalkan pengurus-pengurus yang tidak menghargai sumbangan mereka, malah memberikan penghargaan kepada orang lain yang tidak sepatutnya. Malah, pengurus-pengurus ini membuat kesimpulan sendiri bahawa tiada lagi kesetiaan diberikan kepada mereka dan syarikat. Walhal, mereka ditinggalkan kerana kurangnya keperihatinan kepada sumbangan pekerja professional ini, dan kurangnya penghargaan diberikan kepada mereka.

Kesimpulan

Pihak pengurusan projek IT perlu memahami keupayaan pasukan pembina sistem yang ada, supaya segala perancangan yang mereka rencanakan dalam fasa perancangan (planning) dapat direalisasikan oleh pasukan pembina sistem. Penglibatan mereka dalam fasa perancangan amat penting untuk mendapatkan anggaran (estimate) yang lebih tepat supaya projek dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

Disinilah terbitnya Agile methodology, di mana kesemua mereka yang terlibat dalam pembinaan sebuah sistem dilibatkan dari mula lagi, dan pelanggan juga dapat melihat perkembangan pembinaan sistem dengan lebih dekat. Pasukan pembina sistem lebih berkeyakinan dan juga merasa terjamin dengan wujudnya orang tengah yang menjadi pelindung seperti Scrum Master dalam Scrum framework. Konsep penambahbaikan yang berterusan (continous improvement) ini dapat menjadikan mereka merasakan lebih dihargai dan disokong untuk berkembang dari segi keupayaan teknikal mereka dalam membina sistem.

Published inKerjaPengalaman

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *