Sebagai seorang individu yang lahir era-80an, saya membesar bersama-sama dengan pembangunan keupayaan teknologi maklumat. Ketika era komputer peribadi mula berkembang pada awal 90an, saya menyaksikan kepantasan pembangunan dan juga perubahan kepada cara maklumat atau ilmu dipelajari, dari permulaan pendidikan pra-sekolah, rendah, menengah dan seterusnya kepada peringkat pengajian tinggi. Semuanya berkait rapat dengan pembangunan infrastruktur jalur lebar dan jaringan kemudahan Internet, dan juga teknologi web yang memudahkan maklumat dicapat dengan pantas dan mudah. Saya masih lagi ingat lagi “Sayang IT, Cinta IT” yang kerap ditayangkan di televisyen pada tahun 1994 – 1995 (Siti Nurhaliza tuuu, masa tu dia muda lagi, kelass gitu). Pada masa itu, terdapat pelbagai oendapat, forum yang membincangkan kesan IT kepada masyarakat di Malaysia. Kini, kita dapat lihat impaknya, sama ada baik atau pun buruk.
Impian dan angan-angan
Pada awal 90an, saya masih di bangku sekolah rendah. Apakah isu yang pada masa itu masih menjadi isu sehingga kini? Berat beg sekolah. BERAT BEG SEKOLAH. Ya, masalah ini telah berdekad lamanya. Dari pelbagai cadangan pada masa itu lahirlah jadual waktu anjal yang masih digunakan hingga kini. Tapi ada cadangan yang begitu mengujakan saya pada masa itu, iaitu penggunaan komputer riba untuk menggantikan buku teks dan buku-buku kerja.
Dengan adanya komputer riba, murid-murid tidak perlu membawa buku teks yang berat, hanya perlu membawa sebuah komputer riba ke sekolah. Saya pun mula berangan-angan, bestnya bawa laptop ke sekolah, mesti macam-macam boleh dibuat. Namun begitu, sehinggalah sekarang dan sudah pun anak sendiri yang bersekolah, semua ini masih hanya tinggal cadangan (atau angan-angan). Sebagai seorang millenial yang telah melalui zaman tanpa Internet dan juga zaman Internet, pengalaman ini memberikan sudut pandangan yang agak unik, dimana saya masih lagi boleh membuat kajian dan carian sesuatu maklumat tanpa bergantung kepada Internet, tetapi dengan adanya Internet ianya membantu tetapi tidak menggantikan kaedah teras yang saya gunakan bila Internet tidak wujud.
Sebagai contoh, saya dilatih untuk mencari maklumat dari pelbagai sumber. Oleh kerana dahulu, sumber utama adalah melalui penulisan, maka sumber utama maklumat adalah dari buku-buku, suratkhabar dan juga majalah. Sumber maklumat skunder adalah dari radio dan televisyen tetapi sumber-sumber ini pada masa tersebut amatlah sukar untuk didapati dalam bentuk yang kita boleh dengar atau lihat secara “on-demand”. Dan sebab itu, sekiranya saya perlu membuat kajian mendalam, maka perpustakaan lah tempat saya berkubu dan lakukan bacaan dan menulis nota. Namun begitu, semua itu berubah apabila saya mendapat akses kepada Internet.
WWW dan enjin carian
Akses kepada Internet merubah segalanya. Pada ketika itu, ianya seperti kawasan yang tak pernah diterokai, penuh dengan ranjau dan duri, ketidaktahuan dan juga penuh dengan potensi. Pada ketika itu, saya menggunakan pelayar Internet Netscape Navigator dan laman carian popular ketika itu adalah AltaVista. Kunci untuk membuka dunia baru ini adalah bahasa Inggeris, kerana semua maklumat ketika itu hanya boleh didapati dalam bahasa Inggeris dan juga perisian komputer juga hanya ada dalam bahasa Inggeris.
Dengan menaip perkataan atau ayat dalam enjin carian, pelbagai jenis maklumat boleh didapati dengan mudah. Saya masih ingat lagi bagaimana saya membuat projek folio sekolah berkenaan dengan fotosintesis hanya dengan menggunakan carian di Internet. Dan pada masa itu juga, ianya seperti magik, dan apa yang saya perlu buat hanyalah menterjemah bahasa Inggeris kepada bahasa melayu untuk menepati keperluan projek sekolah yang diberikan.
Dari situ, kemahiran baharu muncul, iaitu kemahiran mencari sesuatu maklumat dari Internet dengan menggunakan enjin carian, seterusnya menganalisa dan menapis maklumat-maklumat yang tidak atau kurang relevan dengan topik atau subjek yang kita cari. Kemahiran ini amat berguna ketika saya menjejakkan kaki ke menara gading. Tetapi, saya tidak melupakan terus kemahiran asas iaitu membaca dari semua sumber maklumat dan membuat rumusan sendiri.
Kedatangan teknologi AI

AI atau “Artificial Intelligence” (Kepintaran Buatan) bukan lah benda yang baru dalam bidang Sains Komputer. Ianya telah dipelopori sejak tahun 1950, di mana saintis komputer yang terkenal pada masa itu, Alan Turing mencetuskan idea yang komputer boleh menjadi lebih dari sekadar pengaturcaraan. Beliau juga memperkenalkan “Turing Test”, satu panduan untuk kita menilai kepintaran sesebuah mesin atau komputer. Teknologi AI ini mengambil masa selama beberapa dekad, dengan pelbagai fasa percubaan untuk chatbot dan juga untuk membolehkan robot berautomasi sepenuhnya sekitar tahun 1960an ke 70an. Pada era 80an, kemunculan “Expert systems” yang membolehkan masalah yang spesifik kepada satu subjek itu diselesaikan dengan menggunakan komputer muncul dan era 90an memberikan kita penciptaan IBM Deep Blue yang mampu menewaskan juara catur dunia Garry Kasparov.
Sebagai seseorang yang meminati teknologi komputer, bidang ini amat teruja bagi saya. Apabila saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Komputer, ianya adalah topik hangat yang saya ikuti dan bincangkan dikalangan para ahli akademik dan pelajar-pelajar yang lain. Teknologi AI ini berubah apabila konsep “machine learning” muncul, di mana komputer boleh belajar dari sumber maklumat yang amat banyak di Internet, dan usaha untuk membolehkan kita berinteraksi dengan komputer secara semulajadi dan tidak lagi perlu menggunakan kod arahan yang spesifik pun bermula. Dari mula melatih komputer untuk memahami struktur ayat dan bahasa natural manusia, sehinggalah kepada pertuturan dan dialek yang kita tuturkan apabila kita berkomunikasi secara lisan.
Apakah impak AI kepada saya sekarang?
Pada hemat saya, teknologi AI ini terlalu di war-warkan akan menggantikan manusia dalam pelbagai bidang. Bidang saya juga tak terkecuali, iaitu menggantikan pengaturcara manusia yang diperlukan untuk membina sesuatu sistem komputer dan perisian. Amatlah aneh, apabila kita mencipta sesuatu yang akan menggantikan tempat kita dalam sektor pekerjaan? Adakah ianya akan terjadi?
Selaras dengan perkembangan terkini dan kemajuan masa kini, saya juga mula mengadaptasi AI dalam kerja-kerja seharian saya. Masih ingat kemahiran asas yang saya sebutkan di atas? Ya, kemahiran ini diperkasakan lagi dengan kehadiran AI namun, ianya TIDAK MENGGANTIKAN kemahiran asas tersebut. Saya masih perlu menyemak, dan juga membuat kajian awal untuk membolehkan “prompt” yang saya berikan adalah sesuai dan boleh diproses dengan tepat oleh AI. Jadi apakah kemahiran baru yang saya perlu pelajari di zaman teknologi AI? Ianya adalah “Prompt engineering” di mana kita perlu menguasai cara untuk menulis prompt dengan betul supaya dapat diproses dan difahami oleh model AI yang akan menghasilkan maklumat yang kita perlukan.
Dengan adanya AI, saya berasa lebih produktif dan lebih pantas dalam membuat keputusan dan juga carian maklumat. Malah, saya juga mampu menyiapkan kerja-kerja yang biasanya memerlukan berminggu-minggu untuk dihasilkan, kepada berberapa hari atau sehari sahaja! Tetapi kalau kita masih lagi diperlukan untuk menggunakan AI untuk membuat kerja-kerja seharian, dari mana datangnya momokan yang AI akan menggantikan kerja-kerja manusia?
Membongkar mitos: AI akan menggantikan manusia
Sebagaimana penciptaan apa-apa alat yang memudahkan kerja-kerja manusia, pasti ada suara-suara sinis yang berpendapat alat tersebut dapat menggantikan manusia itu tersendiri. Saya tidak nafikan, di dalam sejarah manusia ada jenis-jenis pekerjaan yang tidak lagi relevan dengan penciptaan alat-alat yang membantu manusia menyiapkan kerja-kerja seharian mereka.Suatu masa dulu, “computer” adalah salah satu jenis pekerjaan, di mana ada manusia yang duduk dan melakukan pengiraan secara manual dan menulisnya ke dalam rekod. Namun, jenis pekerjaan tersebut tidak lagi relevan kerana penciptaan “computer” lebih memudahkan kerja dan tidak terdedah kepada kelemahan manusia yang mungkin melakukan kesilapan dalam pengiraan (Sekarang pun masih terdedah, kalau manusia masukkan input yang salah, output dia pun salah lah)

Dalam semua bidang, AI sekarang adalah alatan ulung yang mampu memudahkan dan menaikkan fungsi manusia dalam sesuatu kerja. Seperti superpower yang ada pada adiwira-adiwira yang kita tonton di TV dan layar perak, sesorang pekerja itu mampu membuat kerja dengan lebih pantas, teratur dan tepat. Tetapi AI tidak dapat menggantikan manusia kerana ada satu komponen yang AI tidak dapat ganti iaitu EMOSI dan EMPATI. Dengan manusia, kita boleh berbincang dan atas budi-bicara kita boleh melakukan tindakan yang sepatutnya. Dengan manusia juga, kita akan dapat dilayan seperti mana manusia selayaknya dilayan, dengan senyuman, tutur kata yang baik dan juga beradab.
Kesimpulan
Seiring dengan perubahan zaman dan teknologi, begitu juga pedagogi dan cara kita menimba ilmu turut mengalami perubahan. Sama ada seseorang individu tersebut mula mengambil langkah dengan membuka fikiran dan memikirkan kemungkinan yang boleh dicapai dengan kemunculan AI, atau seseorang itu boleh terus berfikiran jumud dan menyangka bahawa AI boleh mengambil alih kerjanya dan hidup dalam ketakutan.
Hakikatnya, nilai insani yang Allah berikan kepada setiap manusia amatlah bernilai, dan insan manusia Allah kurniakan akal fikiran yang mampu berfikir untuk menyelesaikan masalah dan menyuaikan diri dalam apa jua keadaan. Secara peribadi, saya menyambut baik kedatangan AI dan saya juga masih lagi mempelajari dan menguji keupayaan AI ini. Mungkin satu masa di zaman anak cucu kita kelak, mereka lebih mahir, kerana mereka dillahirkan sebagai “digital native” yang membesar dan hidup bersama-sama teknologi ini. Semoga saya dan pembaca sekalian dapat terus menimba ilmu, sehingga ke akhir hayat.

Be First to Comment